suria

Umat Islam Di New Zealand Mungkin Sambut Raya Rabu Ini

KUALA LUMPUR: Umat Islam di New Zealand kemungkinan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu ini, menurut Persatuan Gabungan Islam New Zealand (Fianz).

Jawatankuasa Hilal Fianz Sheikh Mohammad Amir berkata di New Zealand kemungkinan anak bulan Syawal tidak kelihatan di atas ufuk walaupun dengan menggunakan teleskop canggih atau peranti berasaskan teknologi optik.

"Tahun ini 29 Ramadan bersamaan 29 Ogos apabila anak bulan Syawal dijangka kelihatan pada pukul 3.04 petang, 29 Ogos," katanya dalam kenyataan Isnin.

Kenyataan itu diedarkan di kalangan warga Malaysia di New Zealand oleh Pengarah/Kaunselor Pendidikan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru di New Zealand, Datuk Mazlan Muhammad dan isteri Datin Norini Mokhtar akan mengadakan rumah terbuka mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Hari Raya pertama di Dewan Bunga Raya, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brooklyn, Wellington. - BERNAMA

Artikel Lain