suria

Pemeriksaan Perubatan Lebih Komprehensif Untuk Pekerja Indonesia

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memperkenalkan sistem pemeriksaan kesihatan yang lebih komprehensif untuk pekerja Indonesia yang akan dihantar ke Malaysia.

Sistem pemeriksaan perubatan yang dicadangkan itu diharap dapat mengurangkan kos penghantaran pekerja Indonesia ke Malaysia kerana mereka hanya perlu menjalani proses itu sekali sahaja di Indonesia dan sekali lagi di Malaysia, berbading dua kali di Indonesia dan sekali di Malaysia seperti yang diamalkan sekarang.

Kos pemeriksaan kesihatan kini dibebankan kepada majikan yang membayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka dan sebahagian daripada kos itu akan dipotong daripada gaji bulanan pekerja.

Cadangan itu merupakan satu daripada enam bidang kerjasama yang dipersetujui pada Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Peringkat Menteri Malaysia-Indonesia di sini Jumaat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menghadiri mesyuarat itu bagi pihak Malaysia manakala Indonesia diwakili Menteri Kesihatannya Dr Endang Rahayu Sedyaningsih.

Kedua-dua Menteri Kesihatan itu telah menandatangani Kenyataan Bersama Kejasama Dalam Bidang Kesihatan pada akhir mesyuarat sehari itu, yang dimulai dengan mesyuarat sehari peringkat pegawai kanan (SOM) pada Khamis.

Bercakap pada sidang akhbar bersama, Liow berkata sistem yang bakal diperkenalkan itu akan menjadi mekanisme yang cekap untuk memastikan pekerja asing yang memasuki Malaysia bebas daripada penyakit berjangkit.

Pada masa ini pekerja Indonesia yang akan dihantar ke Malaysia perlu menjalani tiga tahap pemeriksaan kesihatan iaitu kali pertama di pusat perubatan daerah asal mereka, di pusat penghantaran di Indonesia dan akhirnya di pusat perubatan di Malaysia.

"Sistem pemeriksaan kesihatan yang akan diperkenalkan kelak akan lebih diyakini serta memberi impak lebih positif kepada kedua-dua negara terhadap urusan kemasukan pekerja asing.

"Paling utama, sistem ini akan mengurangkan kos yang membebankan bukan saja kepada pekerja asing bahkan majikan. Selama ini kita sering mendengar rungutan dan keluhan untuk membawa masuk pekerja dari Indonesia ke Malaysia sangat mahal dan membebankan," katanya.

Di Malaysia, sistem pemeriksaan kesihatan pekerja asing dipantau oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Setiap pekerja asing yang ingin bekerja di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan di mana-mana pusat perubatan yang diberi akreditasi oleh Fomema dengan mengenakan caj sebanyak RM190 ke atas setiap rakyat asing wanita dan RM180 bagi lelaki.

Liow berkata sehingga sistem peperiksaan kesihatan yang lebih komprehensif dilaksanakan di Indonesia, peranan Fomema untuk membuat pemeriksaan kesihatan terhadap pekerja asing akan diteruskan seperti biasa.

Selain bidang kerjasama dalam pemeriksaan kesihatan pekerja asing, mesyuarat kali kedua itu turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pengendalian penyakit menular, perubatan tradisional dan komplimentari, pengawasan ubat dan produk kosmetik, pertukaran latihan doktor dan maklumat perubatan serta penyelidikan dalam bidang kesihatan.

Liow berkata pada mesyuarat itu beliau turut membangkitkan masalah pendaftaran 54 jenis ubat generik keluaran beberapa syarikat farmasutikal Malaysia, yang pendaftarannya di Indonesia tertangguh lebih setahun.

Penangguhan itu disebabkan dua syarat utama iaitu syarikat Malaysia perlu mendirikan kilang farmasutikal di Indonesia dan mereka juga perlu mempunyai rakan kongsi di Indonesia yang telah mempunyai kilang farmasutikal.

Sementara itu Dr Endang berkata sebagai susulan kepada mesyuarat Jumaat, satu kumpulan kerja di kedua-dua kementerian kesihatan akan dibentuk untuk memantau kelancaran kerjasama yang dipersetujui.

Kedua-dua kementerian itu juga sepakat untuk segera menyediakan Memorandum Persefahaman Dalam Bidang Kesihatan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Ini merupakan mesyuarat dua hala kedua antara Menteri Kesihatan Indonesia dan Malaysia sejak tahun 2004.

Mesyuarat ketiga akan diadakan di Malaysia pada 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain