suria

Enam Terbunuh Dalam Pemberontakan di Filipina

COTABATO (FILIPINA): Enam penduduk termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terbunuh dalam pergaduhan di antara dua kumpulan pemberontak yang berlaku di selatan Filipina, demikian menurut jurucakap polis, Isnin.

Ini menjadikan jumlah kematian bertambah kepada 19 orang sejak pertempuran yang meletus sebulan lalu yang berpunca daripada perebutan kuasa untuk mengawal kawasan tanaman padi yang berharga di Pulau Mindanao.

Walau bagaimanapun, itu adalah kali pertama penduduk tempatan menjadi mangsa pertempuran.

Enam mangsa itu terbubuh selepas kumpulan-kumpulan berkenaan saling berbalas tembakan menggunakan meriam dan senapang di daerah terpencil di Kabacan, kata Ketua Superitenden Polis, Joseph Semillano.

"Penduduk memberitahu kami bahawa terdapat enam kematian setakat hari Ahad, termasuk budak lelaki terbabit," beritahunya kepada pemberita.

Keganasan itu dilakukan oleh beratus gerila daripada sebuah unit pemisah Barisan Liberasi Islam Moro (MILF) yang menentang satu puak dari Barisan Liberasi Kebangsaan Moro (MNLF).

MILF telah melancarkan perjuangan untuk menubuhkan negara Islam merdeka di selatan Filipina selama sedekad dan akan menyambung rundingan kedamaian bersama pihak kerajaan minggu ini.

Bagaimanapun, kepimpinan MILF mengaku telah hilang kawalan di dalam beberapa perbalahan dalam beberpa bulan ini dalam perkembangan yang menimbulkan kebimbangan di Manila itu.

Saingan MNLF itu telah menandatangani perjanjian damai dengan Manila pada tahun 1996 tetapi ramai pengikutnya menyembunyikan senjata dan ketua-ketua tidak selalu dapat mengawal kesemua bahagian di dalam kumpulan terbabit.

Ketua Kebajikan Sosial Kabacan, Susan Makalipat mengatakan budak lelaki terbabit adalah anak keluarga yang tinggal di sebelah pusat pemindahan yang mereka fikir selamat dari pertempuran.

"Ibu mangsa baru sahaja mendapat bekalan makanan untuk keluarga mereka daripada pusat pemindahan. Ketika kanak-kanak itu sedang melihat makanan yang diberi, sebiji peluru sesat masuk ke dalam rumah mereka dan terkena budak lelaki itu," beritahu Malikat kepada AFP.

Kira-kira 6,500 penduduk kampung yang kebanyakannya merupakan petani miskin telah melarikan diri dari kawasan pertempuran, tetapi terdapat sesetengah petani yang terus tinggal di situ untuk menjaga ladang mereka.

Artikel Sebelum

Rusia Usir Wartawan British

Artikel Lain