suria

Letusan Merapi Paling Dahsyat Akibatkan Lebih Banyak Kematian

JAKARTA: Letusan Gunung Merapi tengah malam tadi adalah yang paling dasyat setakat ini, dengan semburan awan panas setinggi 8,000 meter ke udara, selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu.

Sekurang-kurangnya 54 orang, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.

Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon keselamatan kepada 20 kilometer di luar puncak Gunung Merapi, termasuk penduduk Sleman (dipindahkan ke Stadium Maguharjo) yang sering terdedah kepada ancaman awan panas Merapi.

Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup kerana ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.

Sementara itu, lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dibawa pulang.

Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata semua pelajar sedang dipindahkan ke Solo, yang terletak 65 kilometer dari Merapi dan 85 kilometer dari Yogyakarta, sebelum diterbangkan ke Malaysia.

Beliau berkata EM telah memohon agar kuliah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 13 Nov ini, dan perkara itu dipersetujui pihak universiti.

"Bagi pelajar yang ingin pulang, (mereka) akan dibawa pulang terus ke Malaysia. Usaha-usaha untuk membawa pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) ke Solo sedang dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.

"Semua pelajar dalam keadaan selamat, dan mereka telah mula berkumpul di Universiti Gadjah Mada. Sebanyak 10 buah bas disediakan untuk mengangkut para pelajar ke Solo," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata ibu bapa pelajar terbabit tidak perlu risau dengan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka.

Katanya, pegawai EM dan kedutaan akan membantu mereka pada setiap masa, selain pasukan sukarelawan pelajar Universiti Negeri Surakarta Sebelas Maret, Solo, yang turut menyelaras pemindahan pelajar berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Hat Yai Semakin Pulih

Artikel Lain