suria

Penumpang Pesawat Qantas Yang Bermasalah Selamat

SINGAPURA: Kesemua 469 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus A380 milik Qantas yang sedang dalam perjalanan menuju Sydney yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi telah diturunkan dengan selamat.

Menurut seorang jurucakap Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), operator lapangan terbang itu, bas disediakan untuk membawa mereka dari pesawat yang ditempatkan di landasan 2 ke terminal lapangan terbang.

Jurucakap itu berkata penerbangan Qantas QF 32, dalam perjalanan menuju Sydney, Australia, berlepas dari Lapangan Terbang Changi kira-kira jam 9.56 pagi tetapi atas sebab-sebab teknikal, pesawat itu berpatah balik ke Changi dan mendarat dengan selamat pada jam 11.46 pagi.

Enam jentera bomba dikejarkan ke landasan selepas pesawat itu mendarat, kata jurucakap itu sambil menambah bahawa ia mengikut prosedur standard operasi bagi insiden seumpama itu.

Sebagai respons kepada permintaan juruterbang, pemeriksaan dijalankan di dalam pesawat oleh pasukan perkhidmatan kecemasan.

Selepas pemeriksaan dijalankan, para penumpang dan anak kapal diturunkan dari pesawat dan ia selesai pada 1.40 tengah hari, kata jurucakap itu.

Landasan 2, yang terus ditutup sejak pendaratan pesawat itu, akan dibuka lewat, Khamis.

Jadual penerbangan berlepas dan mendarat di landasan 1 diteruskan dan operasi di Changi tidak terjejas, kata jurucakap itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain