suria

Malaysia Dan India Tandatangani MoU Pengurusan Lebuh Raya Hujung Tahun Ini - Shaziman

KUALA LUMPUR: Malaysia dan India akan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) mengenai kerjasama berkaitan dengan bantuan perkhidmatan teknikal bagi pembangunan dan pengurusan lebuh raya sebelum hujung tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata antara yang dipohon kerajaan India adalah bantuan teknikal iaitu tenaga kerja dan cara membaikpulih penyelenggaraan lebuh raya.

Sebagai balasan New Delhi menawarkan Kuala Lumpur pembinaan lebuh raya sepanjang 1,000km di India, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan projek penyambungan persimpangan Kinrara Utara di sini, Khamis.

"Pagi tadi kementerian telah menerima draf akhir berhubung dengan memorandum ini daripada Pesuruhjaya Tinggi India. Secara dasar tidak ada sebarang pindaan yang akan kita lakukan kepada draf perjanjian persefahaman ini dan saya mengharapkan supaya kita akan menghantar semula kepada kerajaan India dalam masa terdekat ini. "Saya percaya perjanjian ini dapat kita meterai dalam kadar masa yang segera...sebelum tahun ini kita cadangkan," katanya.

Shaziman berkata tawaran pembinaan lebuh raya sepanjang 1,000km di India bernilai US$5 bilion (kira-kira RM15.4 bilion) itu memberi peluang kepada syarikat kejuruteraan di Malaysia terutamanya dalam bidang pembinaan lebuh raya untuk mengembangkan sayap ke negara itu.

Katanya, ia juga merupakan satu penghormatan kepada syarikat kejuruteraan yang ada kerana mereka bukan sahaja mampu menyediakan infrastruktur di negara ini malah boleh mengembangkan sayap ke negara-negara lain.

Beliau juga berkata Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh yang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bulan lalu, turut kagum dengan keadaaan lebuh raya dan jalan raya yang ada di negara ini. Mengulas mengenai banjir di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sejak beberapa hari lepas, Shaziman meminta bilik gerakan Jabatan Kerja Raya setiap daerah yang dilanda banjir dibuka selama 24 jam dan menguar-uarkan di radio-radio setempat berkenaan tempat yang lazim dilanda banjir bagi memudahkan pengguna jalan raya menggunakan jalan yang selamat. "Saya juga telah maklumkan Lembaga Lebuh Raya pastikan syarikat konsesi menyediakan maklumat terkini dan maklumkan pada pengguna jalan raya supaya mereka tidak terperangkap dalam keadaan banjir di musim tengkujuh ini," katanya.

Projek penyambungan persimpangan Kinrara Utara yang menelan belanja sebanyak RM13.6 juta akan memudahkan perjalanan dari kawasan Petaling Jaya yang melalui Lebuh Raya Baru Pantai ke Puchong/Subang Jaya dan kawasan sekitar.

Persimpangan ini akan memberi faedah kepada lebih 30,000 penduduk dengan menghubungkan Persimpangan Bertingkat Kinrara di Lebuh Raya Shah Alam ke kawasan perumahan seperti Taman Seri Manja, Taman Medan, Taman Majlis Jaya dan Taman Petaling Utama seterusnya ke Lebuh Raya Baru Pantai.

"Pengguna dapat menjimatkan masa perjalanan dari 30 minit ke tujuh minit dari Persimpangan Bertingkat Kinrara melalui Kesas Sdn Bhd (KESAS) ke Jalan Kelang Lama," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain