suria

Banjir Di Hat Yai Semakin Pulih

BANGKOK: Keadaan banjir di Hat Yai bertambah pulih hari ini dengan lebih dua meter paras air sudahpun surut secara drastik, sekaligus memberi ruang kepada para penduduk untuk memulakan kerja-kerja membersihkan rumah, semasa kerosakan ekonomi akibat bencana itu dianggar menjangkau 10 bilion baht.

Air semakin surut dengan pantas di Hat Yai ekoran sistem pengairannya yang cukup baik, empat hari selepas bandar komersil dan pelancongan utama di wilayah Songkhla di Selatan Thailand itu digenangi air.

Datuk Bandar Songkhla Phrai Phatthano berkata bencana banjir itu menjejaskan industri pelancongan dan perniagaan negara, degan anggaran kerosakan menjangkau 10 bilion baht (kira-kira RM1 bilion).

Persatuan Hotel Hat Yai dan Songkhla berkata kira-kira 90 peratus daripada perkhidmatan hotel dan bilik sewa di Hat Yai terjejas akibat bencana itu, manakala Majlis Perbandaran pula berkata ia memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari lagi sebelum dapat memulihkan keadaan bandar sepenuhnya.

Hospital da kedai-kedai di Hat Yai kelihatan sudah memulakan kembali operasi harian, manakala sekolah-sekolah masih ditutup.

Selain Hat Yai, keadaan banjir di wilayah Yala mulai semakin pulih hari ini dengan paras air mulai surut, manakala banjir Surat Thani, Chumporn, Nakhon Si Thammarat, Trang, Pattani dan Narathiwat masih kekal. Di wilayah tengah, semua 16 daerah di Ayutthaya masih mengalami banjir.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Membasmi Banjir Thailand, kematian akibat banjir kini berjumlah 122, termasuk 12 kematian di bahagian selatan negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain