suria

Pesta Angin Bendang Lonjak Nama Kampung Banir Tembus

KANGAR: Walaupun berusia lebih 100 tahun, Kampung Banir Tembus dekat sini bagaikan tidak pernah wujud kerana namanya amat jarang disebut.

Namun, kampung yang berlatarkan sawah padi itu, akan menjadi tumpuan dan akan menerima kedatangan orang kenamaan serta ribuan pengunjung dan pelancong selama dua hari mulai esok kerana dipilih menjadi tapak Pesta Angin Timur di Bendang 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Banir Tembus, Amran Harun berterima kasih kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan yang bergabung tenaga dengan kerajaan Perlis untuk mengadakan pesta berkenaan di kampung itu.

Banir Tembus mendapat namanya daripada sebatang pokok jawi di kampung itu dan perdunya (banir) yang besar serta berlubang di tengah membentuk terowong yang boleh dilalui (ditembusi) oleh orang ramai dan binatang.

Mulai esok, suasana kampung yang sunyi itu akan dihidupkan dengan alunan serunai batang padi selain beberapa kegiatan yang boleh menggamit nostalgia silam kerana suatu ketika dahulu penduduk meniup serunai batang padi, bermain layang-layang dan bermain alu bunyi sebagai satu bentuk hiburan selepas musim menuai.

"Mereka yang rindukan nostalgia itu boleh datang ke Banir Tembus dan sama-sama menyokong program ini yang berlangsung dalam kawasan bendang," kata Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad.

Pelancaran pesta itu akan dilakukan bersama oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen pada Ahad.

Abdul Jamil berkata pada hari pelancaran itu, antara acara menarik ialah segmen khas "tumbuk sambal belacan" oleh 1,000 penduduk.

"Bawalah lesung batu dan kami sediakan bahan untuk buat sambal belacan. Nama anda akan dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai peserta tumbuk sambal belacan secara serentak dan teramai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lambaian Bali Yang Mempesonakan

Artikel Lain