suria

6 ‘trick’ jimat belanja majlis kahwin seiring zaman, makin ramai ikut trend ‘hidden hantaran’

'Hidden hantaran' bantu pengantin elak rasa malu sekiranya mereka membawa hantaran yang murah.

MENJADI lumrah bagi mana-mana individu yang mahu mendirikan rumah tangga, mereka perlu mengumpul banyak wang untuk menjayakan hari perkahwinan.

Jika mahu mengikut trend, mungkin kos majlis perkahwinan mereka boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Bagi yang kurang berkemampuan dan mahu berjimat, anda boleh ikuti 'trick' yang mStar kongsikan ini.

1. Pelamin

Jika anda benar-benar mahu berjimat dan memiliki sentuhan kreatif, boleh saja hasilkan pelamin DIY (do it yourself) menggunakan bahan-bahan murah dan terpakai.

Malah, banyak tutorial pelamin turut dikongsi menerusi YouTube dan TikTok.

Selain itu, banyak sebenarnya butik pengantin yang menyediakan sewaan pelamin murah pada harga serendah RM300. Jangan cepat berputus asa. Buat carian dengan teliti di media sosial seperti Facebook sehingga anda berjaya mendapatkan pelamin pada harga yang berpatutan.

2. Mekap

Tak semua pengantin mampu untuk membayar upah jurusolek. Sebagai alternatif, anda boleh menyolek diri sendiri dengan meniru video-video tutorial di media sosial.

Jika ada kenalan yang berkebolehan, boleh juga minta bantuan mereka dengan bayaran yang lebih berpatutan.

1034350

Kad undangan kahwin boleh dihantar secara maya.

3. Beli baju ketika ada promosi atau diskaun. Dengan cara ini, anda boleh menjimatkan kos. Selain itu, anda juga boleh memakai pakaian lama yang 'diserikan' semula dengan perincian baharu.

Contohnya, jika anda memiliki baju kurung putih, anda hanya perlu tambah veil dan bunga tangan untuk menaikkan seri pakaian ketika majlis akad nikah.

4. Kad undangan kahwin

Dalam zaman serba moden hari ini, ramai bakal pengantin sudah tidak menggunakan kad undangan yang dicetak.

Sebaliknya, lebih mudah jika anda menggunakan aplikasi percuma untuk menghantar undangan kahwin secara dalam talian melalui WhatsApp, Facebook dan Instagram.

5. Jurufoto

Kos untuk mengupah jurufoto biasanya melebihi RM1,000. Jika anda mahu berjimat, boleh saja minta bantuan kawan atau keluarga untuk menjadi jurufoto.

Peranti seperti iPhone model-model terbaharu mempunyai kualiti yang bagus, malah anda juga boleh membuat suntingan menerusi aplikasi percuma Lightroom.

6. Hantaran

Ramai pengantin hari ini menggunakan teknik 'hidden hantaran'.

Dengan cara ini, tetamu tidak dapat melihat isi hantaran yang diberikan.

Pengantin juga tidak perlu malu atau risau dikritik tetamu sekiranya mereka membawa isi hantaran yang murah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain