suria

Suka-suka rekod aktiviti suami, juara kempen #SimplyMalaysian tak sangka 'walao' bawa tuah!

Antara pemenang kempen #SimplyMalaysian yang dianjurkan Star Media Group.

WARGA Malaysia di seluruh negara telah menyerlahkan kreativiti mereka dalam kempen 'Kongsikan kisah anda sebagai anak watan Malaysia tanpa perlu menceritakan kerakyatan anda' anjuran Star Media Group (SMG).

Kempen Hari Kebangsaan ini dilancarkan dari 22 Ogos hingga 16 September bagi meraikan kemerdekaan negara yang ke-65.

Dari video yang menghiburkan sehingga foto yang menyentuh jiwa, penyertaan yang dihantar mempamerkan identiti Malaysia yang unik dan 65 penyertaan yang paling kreatif telah dipilih.

ARTIKEL BERKAITAN: Biar posting berbicara! Buktikan anda anak jati Malaysia, jom sertai kempen #SimplyMalaysian... Boleh menang hadiah menarik

Seramai 65 pemenang membawa pulang hadiah seperti peranti pintar, peralatan rumah, baucar penginapan, baucar AEON dan McDonald’s serta bermacam lagi.

Pemenang utama yang berjaya membawa pulang televisyen pintar Android 50 inchi 4K Panasonic adalah Tan Tze May menerusi penyertaannya yang menghiburkan, mengisahkan tentang 'Malaysians using Walao to describe anything from the weather to food and even jam' (rakyat Malaysia guna Walao untuk menggambarkan apa saja dari cuaca, makanan, malah trafik sesak)

Selain itu, Liew Ven Fung memenangi jam pintar Huawei; Sri Kumaran Munusamy (fon telinga tanpa wayar Huawei); Atteleth Don Peris (mesin basuh Samsung) dan Lim Sooi Ping (tablet Samsung).

Antara hadiah lain yang diterima termasuk baucar penginapan St Regis dan lain-lain.

Bagi Tze May yang mengetahui tentang kempen berkenaan menerusi Facebook, penyertaan tersebut sekadar untuk mencuba nasib, justeru dia tidak menyangka dirinya berjaya memenangi hadiah utama.

digital Ad BM

"Perkataan 'Walao' yang digunakan merupakan ilham daripada suami kerana dia sering menyebutnya... jadi saya masukkan elemen tersebut dalam aktiviti harian dan merekodnya.

"Suami juga individu terpenting dalam pembikinan video kerana setiap recording dilakukan secara bersahaja dan di mana-mana sahaja seperti ketika makan mahupun kesesakan lalu lintas.

"Kemudian saya menggabungkannya dan menyelit elemen kelakar," jelasnya yang menggunakan teknik tersebut bagi mendapatkan momen sebenar.

Kumaran yang menggunakan konsep 'Malaysian Kaigeh' iaitu masyarakat Malaysia dalam dialek India mengakui gembira dengan kemenangan tersebut.

"Saya tak meletakkan sebarang harapan dalam penyertaan ni kerana memasukkan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran pada masa itu. Apabila menang, saya rasa diri ini sangat bertuah," ujarnya yang merupakan pereka grafik.

Sementara itu, Sooi Ping yang merupakan seorang suri rumah memberitahu idea untuk menghasilkan video kempen berkenaan tercetus semasa dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Pada masa tu terdapat kemalangan dan mak saya minta pemanduan diperlahankan kerana dia ingin mendapatkan nombor plat kenderaan terlibat kerana ingin membeli 'empat ekor'.

"Saya macam terkesima kerana dalam keadaan tergesa-gesa, mak masih fikir tentang perkara seperti itu... jadi dari situ idea tercetus.

"Semasa membuat rakaman pula, saya rasa bertuah kerana ayah bersikap natural dan tidak perlu mengambil video berkali-kali," luahnya.

Dalam pada itu, barisan panel juri turut meluahkan rasa terkejut dengan kreativiti peserta kerana setiap penyertaan memaparkan nuansa dan keunikan yang hanya boleh dikaitkan dengan rakyat Malaysia walaupun topiknya meluas.

Semua penyertaan yang menang boleh dilihat di simplymalaysian.thestar.com.my.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain