suria

Semangat Mat Kilau meresap! Murid SK Jejawi di Perlis ‘sporting’ ikut tema orang kampung sempena pelancaran bulan kemerdekaan

Warga SK Jejawi mengenakan pakaian dengan tema orang kampung sempena pelancaran Bulan Kebangsaan, pada Sabtu.

PERSIS gadis Melayu terakhir dan pendekar di zaman kesultanan dahulu kala!

Itulah perkataan tepat bagi menggambarkan gaya murid-murid SK Jejawi, Kangar, Perlis yang 'melaram' dalam busana tradisional masing-masing sempena sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan bru-baru ini.

Murid lelaki segak dalam sut baju Melayu lengkap bertanjak manakala yang perempuan pula siap berbaju kurung Kedah serta ayu mengenakan kain batik sebagai kerudung kepala.

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran, Isma Noorafedza Ishak, pakaian yang digayakan oleh warga SK Jejawi adalah bertemakan 'orang kampung' sempena pelancaran sambutan kemerdekaan peringkat sekolah pada tahun ini.

merdeka 3

Murid-murid berarak ke Masjid Kampung Jejawi sambil mengibarkan bendera.

"Kami guru-guru war-warkan lebih awal dalam grup WhatsApp kelas masing-masing supaya penjaga ambil maklum tentang acara ini dan tema yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara murid pakai stoking busuk, cikgu buka spa dalam sekolah... Siap ada servis medi dan pedi!

"Tema 'orang kampung' dipilih kerana sekarang ini masih hangat lagi dengan semangat Mat Kilau. Sebagaimana yang kita ketahui, Mat Kilau adalah salah seorang pahlawan Melayu.

"Tak sangka apabila tibanya hari pelancaran bulan kebangsaan, murid-murid datang dengan pakaian mengikut tema. Ibu bapa mereka memang memberi kerjasama, cikgu-cikgu tak 'touch up' pun," ujarnya kepada mStar.

merdeka 4

Salah seorang guru SK Jejawi mengayuh basikal seperti orang kampung zaman dahulu.

Tambah guru ini, pada hari pelancaran tersebut, seramai 267 orang murid bersama warga SK Jejawi bersama-sama berarak dan menjelajah masuk ke Kampung Jejawi sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

"Program ini turut dibantu oleh polis trafik dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyelia dan mengawal lalu lintas.

"Kami kemudian ke Masjid Kampung Jejawi bagi menyerahkan bendera kepada ahli jawatankuasa (AJK) untuk ia dikibarkan di masjid," kongsinya.

Menurut Isma Noorafedza Ishak, bukan sahaja murid-murid yang teruja, malah guru-guru turut sama merasainya memandangkan ini adalah sambutan kemerdekaan kali pertama secara 'outdoor' setelah dua tahun meraikannya secara dalam talian (online).

Inilah inisiatif guru-guru serta PIBG sekolah ini bagi memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar.

ISMA NOORAFEDZA ISHAK

PENOLONG KANAN PENTADBIRAN SK JEJAWI

"Sebelum pandemik Covid-19, kami lazimnya melancarkan sambutan kemerdekaan di sekolah ataupun melakukan kunjungan ke muzium.

"Tahun ini pihak sekolah cipta kelainan sedikit. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini sangatlah aktif, jadi lebih mudah mendapat kerjasama daripada ibu bapa. Alhamdulillah, program semalam berjaya," ujarnya.

Menurut guru ini lagi, program tersebut akan berlangsung selama sebulan sehingga 16 September, di mana sambutan kemuncak kemerdekaan dijadualkan pada 29 Ogos dan acara penutup pula pada 15 September.

"Sepanjang hampir sebulan program ini berlangsung, pelbagai acara, kuiz serta aktiviti yang sudahpun dirancang.

merdeka 2

Murid-murid mengenakan pakaian mengikut kebudayaan masing-masing.

"Antaranya empat aktiviti yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) iaitu 'Laluan Merdeka' (laluan sepanjang 7 meter yang mempamerkan hasil kerja murid), video pendek Mat Kilau, kawad kaki Merdeka dan inovasi STEAM (Sains, Teknologi, Art, Matematik) Merdeka.

"Ada juga program lain seperti TikTok Merdeka, penghasilan buku skrap Sejarah oleh murid-murid, kuiz kemerdekaan mengikut panitia masing-masing serta pertandingan kelas dengan hiasan Merdeka paling cantik.

"Inilah inisiatif guru-guru serta PIBG sekolah ini bagi memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar, selain menggalakkan rasa teruja mereka untuk hadir ke sekolah.

"Walau tiada arahan wajib, tapi sebagai seorang guru, kita bertanggungjawab memberi pendedahan kepada gen Alpha," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain