suria

Awas! Kes kanak-kanak cedera meningkat di musim perayaan... Ketahui cara bezakan jatuh biasa dan patah tulang

Patah tangan kejadian yang banyak berlaku ketika musim perayaan.

DALAM keghairahan menyambut Aidilfitri, keselamatan anak-anak juga perlu diberikan perhatian memandangkan golongan ini mudah berasa teruja ketika bermain dan senang terjatuh serta terhantuk.

Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bukan tempat lepaskan marah... Ketahui cara tegur tanpa perlu tengking

Menurut Kementeriaan Kesihatan Malaysia (KKM), jatuh merupakan antara kecederaan yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun.

Ini kerana mereka berada dalam fasa umur di mana mereka bersifat ingin tahu mengenai pelbagai perkara, dan pada masa mengalami pertumbuhan badan dan tulang.

Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Kanak-Kanak daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Maria Wong berkata, kes kecederaan seperti terjatuh dan patah tulang melibatkan kanak-kanak menunjukkan peningkatan ketara ketika musim perayaan kerana lebih banyak aktiviti kunjung-mengunjung dan pelancongan dalam tempoh itu.

Dr Maria Wong

Dr Maria Wong menjelaskan kes patah tulang meningkat ketika musim perayaan.

Dr Maria menjelaskan bahawa kes patah tulang yang biasa dialami oleh golongan kanak-kanak adalah patah tulang di bahagian siku, tulang lengan serta pergelangan tangan kerana mereka cenderung untuk menghimpit atau menekan tangan mereka semasa terjatuh.

"Perbezaan jenis patah tulang boleh dilihat berdasarkan kumpulan umur kanak-kanak. Bagi kanak-kanak dibawah usia empat tahun, kes-kes tidak patah tulang sepenuhnya seperti plastic deformation (tulang berubah bentuk), buckle (apabila tulang saling terhimpit sesama sendiri) dan greenstick fractures (apabila tulang bengkok dan retak) boleh berlaku tanpa menunjukkan perubahan bentuk tulang yang serius dan ketara.

"Dalam sesetengah keadaan, kanak-kanak berusia lebih empat tahun juga boleh mengalami keadaan yang dipanggil growth plate injury - kesemua ini sering dipandang remeh sebagai lebam atau kecederaan tisu lembut yang tidak berbahaya," katanya.

Kunci utama dalam mengesan bahawa jatuh yang dialami oleh anak anda merupakan jatuh biasa atau tidak adalah dengan melihat reaksi mereka terhadap anggota badan yang terjejas.

Dr Maria turut memberitahu bahawa kanak-kanak mungkin tidak mampu memberitahu simptom yang sedang dialami mereka atau menunjukkan bahagian badan yang sakit kepada ibu bapa.

Arm broken. Little cute kid boy 5-6 years old hand bone broken from accident with arm splint in studio shot isolated white background, Asian children preschool injured after accident, health concept

Membawa anak yang cedera ke hospital adalah tindakan wajar bagi mengelakkan kecederaan lebih serius.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu lebih peka dalam memahami reaksi wajah anak-anak semasa dan selepas berlakunya insiden jatuh tersebut.

"Selepas 48 jam dari masa jatuh, rasa sakit dan bengkak yang berlarutan di bahagian anggota badan yang terjejas boleh dijadikan petanda awal bahawa anak mengalami patah tulang.

"Kanak-kanak yang cedera akan mengelak dari menggunakan bahagian anggota badan yang cedera ataupun mereka akan menangis apabila menyentuh atau menggerakkan bahagian badan yang terkesan semasa jatuh," jelasnya.

Bila ibu bapa harus membawa anak ke hospital?

Membawa anak kecil yang cedera ke hospital mungkin menjadi perkara digeruni oleh kebanyakan ibu bapa, namun ia wajar dilakukan untuk mengelakkan sebarang kecederaan lebih serius.

Pengarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wee Tong Ming pula berkata, ibu bapa perlu mendapatkan rawatan dengan kadar segera sekiranya anak mereka mengalami kesakitan yang berlarutan ataupun mengalami sebarang perubahan bentuk pada anggota badan yang terjejas semasa jatuh.

Dr Wee Tong Ming

Dr Wee memberitahu proses untuk sembuh boleh mengambil masa sehingga enam ke 12 minggu.

"Ibu bapa perlu membawa anak berjumpa doktor sekiranya anak tidak mahu mengerakkan anggota badan yang terjejas ataupun jika berlaku pembengkakan yang tidak surut selepas 48 jam.

"Rawatan awal amat penting kerana apabila tulang patah dan serpihan tulang menjadi tidak selari, Splint (sejenis alat yang digunakan untuk menyokong anggota badan yang patah atau terseliuh) akan diperlukan untuk mengawal pergerakan supaya tidak berlebihan yang boleh mengakibatkan kecederaan lain dibahagian struktur saraf dan salur darah," jelasnya.

Tambah Dr Wee, ini juga termasuk dengan kes-kes kecederaan ringan dan disebabkan itu penting mendapatkan rawatan awal kerana patah tulang sukar dikesan tanpa bantuan ujian pemeriksaan seperti X-ray.

Untuk kecederaan seperti growth plate structure, diagnosis dan rawatan yang lewat boleh menyebabkan masalah tumbesaran di bahagian tulang yang terkesan sehingga boleh menjejaskan kehidupan kanak–kanak.

Dalam kebanyakan kes patah tulang, proses untuk sembuh boleh mengambil masa sehingga enam ke 12 minggu dan bergantung kepada tahap kecederaan tersebut.

Malay family at recreational park having fun

Keselamatan anak-anak keutamaan pada musim perayaan.

Dr Wee juga menyarankan ibu bapa supaya sentiasa memastikan anak mereka mengikuti pelan rawatan yang disarankan oleh doktor seperti casting (menggunakan balutan simen), splinting (menggunakan alat sokongan) ataupun pembedahan.

Sokongan emosi juga amat penting dalam situasi ini agar anak-anak lebih faham bahawa semua yang dialami itu merupakan sebahagian daripada proses untuk sembuh.

Selain sokongan ibu bapa, Dr Maria turut menyarankan meluangkan masa di luar rumah dengan pemantauan ibu bapa dapat memberikan kesan yang baik semasa proses penyembuhan.

"Dos matahari yang mencukupi dapat membantu dalam penyerapan Vitamin D yang penting untuk perkembangan tulang yang sihat. Selain itu, diet seimbang serta susu formula dengan Vitamin D dan kalsium juga penting bagi perkembangan tulang kanak-kanak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain