suria

Bekas pesakit Covid-19 tahap serius berdepan risiko kematian dalam tempoh setahun - Kajian

Risiko kematian pada bekas pesakit Covid-19 tahap teruk boleh meningkat dalam tempoh setahun meskipun sudah pulih.

BEKAS pesakit Covid-19 di tahap serius berisiko dua kali ganda berdepan kematian dalam tempoh setahun selepas pulih daripada wabak itu berbanding mereka yang dijangkiti wabak itu ditahap ringan atau sederhana.

Perkara itu adalah berdasarkan kajian terbaharu yang diterbitkan menerusi Frontier in Medicine.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian terbaharu dapati risiko jangkitan berulang Omicron 5 kali ganda, booster tingkat keberkesanan vaksin 55 hingga 80 peratus

Lebih mengejutkan, peningkatan risiko kematian itu adalah lebih besar bagi pesakit berumur di bawah 65 tahun dan 20 peratus daripada pesakit Covid-19 tahap teruk meninggal dunia disebabkan komplikasi wabak itu seperti masalah pernafasan dan darah beku.

Kajian itu menunjukkan bahawa Covid-19 tahap serius boleh menjejaskan kesihatan dalam tempoh jangka panjang dan kepentingan vaksinasi dalam mencegah komplikasi teruk sekiranya dijangkiti wabak itu.

file7j0x2dttui918flhl9n3

Pekerja kesihatan sedang meletakkan pesakit dalam posisi meniarap sebagai salah satu cara merawat pesakit Covid-19.

Realiti 'Long Covid'

Wabak Covid-19 boleh menyebabkan simptom yang teruk dan kematian terutamanya bagi pesakit berusia, selain bagi mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

Sekiranya pulih, pesakit mungkin boleh mengalami keadaan dipanggil 'Long Covid' iaitu mereka akan mengalami gejala seperti keletihan dan sesak nafas selama beberapa bulan selepas dijangkiti.

"Kajian terdahulu menunjukkan bahawa pesakit dengan Covid-19 tahap teruk dan pulih mempunyai risiko lebih besar untuk dimasukkan ke hospital dalam tempoh enam bulan berikutnya.

"Dalam kajian terbaharu ini juga kita turut mengkaji risiko kematian dalam tempoh 12 bulan berikutnya," kata ketua penyelidikan kajian itu, Profesor Arch Mainous dari Universiti Florida, Amerika Syarikat.

Menerusi kajian itu, penyelidik menjejaki rekod kesihatan sebanyak 13,638 pesakit yang menjalankan ujian PCR untuk Covid-19 dalam sistem kesihatan Universiti Florida dengan 178 pesakit mengalami tahap teruk, 246 (tahap ringan atau sederhana) dan selebihnya negatif.

Semua pesakit termasuk dalam kajian tersebut pulih daripada wabak itu dan penyelidik akan melihat hasilnya dalam tempoh 12 bulan.

file7j4omptrfe0jmhtmayl

Vaksin sangat penting dalam melindungi daripada komplikasi teruk sekiranya dijangkiti wabak itu.

Perlu lebih berwaspada

Kajian itu mendapati bahawa pesakit yang telah pulih daripada Covid-19 tahap teruk berhadapan risiko lebih besar untuk meninggal dunia pada tahun berikutnya berbanding pesakit dengan gejala ringan atau sederhana.

Beberapa trend mengejutkan turut muncul daripada data kajian itu seperti bekas pesakit tahap teruk berumur di bawah 65 tahun menunjukkan peningkatan 233 peratus meninggal dunia berbanding dengan mereka yang tidak dijangkiti.

Angka itu lebih besar berbanding pesakit tahap teruk berusia 65 tahun ke atas.

Memandangkan kematian yang berlaku dalam tempoh setahun selepas pulih, ia biasanya tidak dikaitkan dengan wabak itu malah 80 peratus daripada kematian biasanya berlaku disebabkan pelbagai alasan yang tidak berkaitan Covid-19.

Ini menunjukkan bahawa pesakit telah mengalami kemerosotan keseluruhan dalam kesihatan yang menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit.

Pesakit Covid-19 ringan atau sederhana tidak mengalami peningkatan risiko kematian ketara berbanding mereka yang tidak dijangkiti, sekaligus membuktikan kepentingan valsinasi bagi mengurangkan kemungkinan mengalami penyakit teruk.

"Memandangkan kita tahu terdapat risiko besar untuk mati akibat komplikasi Covid-19 yang tidak diiktiraf, kita perlu lebih berhati-hati dalam mengurangkan episod teruk Covid-19.

"Mendapatkan rawatan di hospital dan berjaya pulih tidak memberikan gambaran penuh tentang kesan Covid-19. Sebab itu penting untuk mengambil langkah pencegahan seperti vaksinasi dalam usaha melindungi diri daripada mengalami gelaja teruk sekiranya dijangkiti," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain