suria

Mak ayah tak perlu pening kepala, ini 6 aktiviti menarik untuk anak-anak sempena cuti sekolah

KidZania merupakan antara lokasi yang sesuai untuk dikunjungi si cilik ketika musim cuti sekolah.

BOSANNYA duduk rumah je!

Mungkin itulah dialog si kecil apabila mereka hanya terperap di rumah ketika musim cuti persekolahan.

Buat ibu bapa yang masih 'pening kepala' dan buntu, apa kata anda cuba enam aktiviti ini yang boleh dilakukan di sekitar Selangor bersama keluarga tercinta.

Taman tema air di Selangor

Ada beberapa pilihan taman tema air yang boleh dikunjungi dan sesuai untuk aktiviti sekeluarga. Antara yang popular tentunya Sunway Lagoon, Subang Jaya yang menawarkan 90 tarikan menarik untuk anda.

Jika mahu memacu adrenalin dengan gelongsor air berkelajuan tinggi, anda juga boleh berkunjung ke Bangi Wonderland yang mesra untuk segenap lapisan umur.

Bangi Wonderland

Gelongsor gergasi yang menjadi tarikan utama di Bangi Wonderland.

Selain itu, Riverine Splash Water Theme Park @ Amverton Cove, Kuala Langat yang bertemakan suku kaum dengan 12 tarikan dan gelongsor juga wajib dikunjungi anda sekeluarga.

Taman tema luar dan dalam di Selangor

Kunjungan ke KidZania Malaysia, Damansara pastinya dapat merealisasikan fantasi anak-anak dalam memahami dunia sebenar orang dewasa. Malah, ia turut menawarkan banyak aktiviti yang direka khusus untuk membantu perkembangan fizikal dan intelek.

Jika berkelapangan, boleh juga kunjungi District 21, Sepang untuk melakukan lapan aktiviti pengembaraan seperti memanjat, meluncur, menunggang, melompat, jatuh bebas dan terbang.

District 21

Aktiviti fizikal di District 21 menjanjikan keriangan luar biasa untuk anak-anak anda.

Untuk pengalaman berbeza, apa kata bawa anak-anak bermain kasut roda di RollerWa yang terletak dalam pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya. Dekorasi gelanggang luncur yang menarik di RollerWa juga sering tular menerusi video-video di aplikasi TikTok.

Aktiviti sukan dan rekreasi

Juga di pusat beli-belah 1 Utama, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke WINDLAB Indoor Skydiving yang menawarkan aktiviti rekreasi terjun udara luar sejauh 14,000 kaki.

Selain itu, Jump Street Trampolline Park di Petaling Jaya menawarkan hampir seratus trampolin yang disambungkan ke dalam gelanggang besar, termasuk gelung bola keranjang yang unik, gelanggang bola mengelak trampolin, lubang buih untuk melompat masuk dan beg udara gergasi untuk mendarat dengan selamat.

Tarikan alam semula jadi di Selangor

Taman Botani Negara Shah Alam ialah salah satu destinasi eko/agropelancongan terbaik di Selangor dan Malaysia kerana menawarkan pelbagai taman dengan tarikan untuk pencinta alam semula jadi dan pencari keseronokan.

Roller Wa

RollerWa di 1 Utama kini menjadi kegilaan anak muda dan sering tular menerusi media sosial.

Bagi yang mahu merasai pengalaman di sawah padi, apa kata anda lawati Sekinchan untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti memancing belut.

Seterusnya, Taman Alam Kuala Selangor turut dianggap sebagai syurga flora dan hidupan liar. Terdapat hutan hujan tropika seluas 201 hektar dan selebihnya adalah hutan paya di kawasan seluas 296 hektar.

Sungai dan air terjun

Sungai Congkak ialah hutan rekreasi yang terkenal di daerah Hulu Langat, Selangor. Berkhemah, berkelah, BBQ, dan mandi-manda di kawasan air sejuk jernih dan jeram di bawah pokok hutan hujan tropika adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

sungai

Sungai Chilling dan Sungai Pertak menawarkan panorama alam luar biasa untuk kunjungan anda sekeluarga.

Selain itu, Sungai Chiling yang terletak 3 kilometer dari Kuala Kubu Bharu menjadi destinasi pendakian hutan yang menyeronokkan, membawa anda melalui sungai dan sungai, melepasi spesies unik seperti orkid liar dan buluh, sebelum tiba di air terjun setinggi 80 meter yang menghadap ke lagun yang tenang.

Selain itu, Sungai Tekala yang terletak berhampiran Empangan Semenyih di wilayah Hulu Langat merupakan lokasi untuk berkelah dan berenang, malah anda juga boleh bersiar-siar melalui hutan hujan semula jadi.

Boleh juga kunjungi Sungai Pertak yang mengalir melalui kawasan Orang Asli, ia merupakan destinasi popular pada hujung minggu dan menjadi lokasi untuk memancing serta perkhemahan.

Zoo

Zoo Negara ialah zoo terbesar di Malaysia, seluas 44 hektar (110 ekar) di Ulu Klang, Daerah Gombak, Selangor. Zoo Negara menempatkan kira-kira 5,137 spesimen yang mewakili 476 spesies mamalia, burung, amfibia, reptilia dan ikan yang berbeza.

G2G Animal MAEPS

Jangan lupa bawa ahli keluarga untuk mendekati haiwan di G2G Animal Farm sempena cuti sekolah kali ini.

Bagi mereka yang mahu mencari kelainan, boleh juga berkunjung ke Farm In The City, Seri Kembangan yang menggabungkan unsur hidupan liar dan alam semula jadi dalam persekitaran seperti taman pemuliharaan.

Selain itu, G2G Animal Farm yang terletak di Taman Ekspo Agro Malaysia di Serdang (MAEPS) turut memberi peluang untuk anda memberi makan dan membelai haiwan.

Antara stesen haiwan yang ada termasuklah Rumah Kucing, Sangkar Burung, Rumah Terapi Haiwan, Taman Arnab, Rumah Reptilia, Rumah Merpati, Taman Kura-Kura dan Haiwan Peliharaan Kampung.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain