suria

Tarikan terbaharu! Majlis berendoi diadakan sambut kelahiran Jaguh, anak badak air di Sunway LWOT

Jaguh membuat penampilan bersama ibunya, Juwita.

KUNJUNGAN ke Perak tidak lengkap sekiranya tidak singgah di Sunway Lost World of Tambun (LWOT).

Sebagaimana yang diketahui umum, LWOT menjadi salah satu taman tema air pilihan ramai kerana mempunyai pelbagai tarikan seperti kolam air panas semula jadi, dikelilingi bukit batu kapur berusia jutaan tahun, 88 tarikan dari 10 taman tema serta menempatkan lebih 100 spesies haiwan.

Kini, satu lagi tarikan terbaharu menanti pengunjungnya iaitu kemunculan anak hippo atau badak air pertama yang dilahirkan di taman tema tersebut.

Anak badak air yang diberi nama Jaguh itu adalah anak pertama pasangan badak air popular, Jiwang dan Juwita, yang diraikan dalam perkahwinan 'Wedding of The Year' pada April tahun lalu.

jaguh 2

Sekitar Majlis Berendoi khas untuk meraikan Jaguh.

"Hasil daripada perkahwinan tersebut, kami di Sunway Lost World of Tambun amat teruja untuk menyambut dan mengadakan Majlis Berendoi buat anak pertama pasangan badak air yang baru sahaja dilahirkan pada 18 Jun 2022 lalu dengan kesinambungan tradisi Melayu," kata Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin ‘mewangi’, Floria Diraja Putrajaya kembali meriah dengan hampir sejuta jenis tumbuhan

Pemilihan nama anak badak air itu dibuat menerusi satu peraduan untuk menggalakkan orang ramai mengambil bahagian bagi sama-sama meraikan berita gembira kelahiran haiwan berkenaan.

Hampir 1,000 penyertaan diterima dengan pelbagai nama kreatif yang dicadangkan.

Nama Jaguh akhirnya menambat hati pihak Sunway Theme Parks kerana memberi maksud 'juara', selain ia sesuai dengan karakter anak badak air itu sendiri yang kuat dan sihat.

jaguh 1

Jaguh kini menjadi tarikan baru di Sunway Lost World of Tambun.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan kempen cuti sekolah yang akan bermula 3 September, Sunway Lost World of Tambun menjemput semua rakyat Malaysia untuk menyaksikan kelincahan dan gelagat Jaguh.

Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan buat pengunjung seperti persembahan khas pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perarakan dan persembahan Muhibbah sehingga Hari Merdeka, dan Muzikal 'Tin Story'.

Apa tunggu lagi, ayuh luangkan waktu cuti bersama keluarga anda di Sunway Lost World of Tambun!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain