suria

Memang rare! Homestay Umah Temuan tawar pengalaman menarik, dapat belajar budaya Orang Asli

Penginapan di Umah Temuan pasti menjanjikan pengalaman yang unik.

TERDIRI daripada pelbagai suku kaum dan etnik, Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan budaya dan warisan.

Salah satu daripadanya adalah masyarakat Orang Asli yang rata-ratanya masih mendiami kawasan pedalaman dan jauh daripada arus pemodenan, sekali gus menjadikan kaum minoriti ini antara 'khazanah' negara yang wajib dipelihara.

Sehubungan dengan itu, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Epic, bekerjasama dengan perusahaan sosial Native Discovery dan syarikat sains global 3M, membangunkan 'Umah Temuan' iaitu satu inisiatif yang dicetuskan bagi memperkasakan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif Umah Temuan ini bukan sahaja bertujuan merangsang ekonomi masyarakat tempatan, malah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keindahan budaya dan tradisi Orang Asli Temuan.

temuan 2

Elemen seni bina yang menerapkan pengaruh budaya suku Temuan.

"Terdapat pelbagai penemuan menarik yang boleh ditawarkan oleh Kampung Orang Asli Temuan di Serendah dari segi budaya dan pengalaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Suasana kampung, hamparan sawah padi jadi tumpuan ‘orang bandar’ di Anis Raudhah Homestay

"Bagi menyerlahkan warisan dan gaya hidup mereka yang penuh dengan warna-warni, kami merangka inisiatif inap desa yang berupaya merangsang ekonomi penduduk tempatan.

"Di samping mempromosikan budaya mereka, ia akhirnya akan menjadi sebuah ekosistem yang mampu bertahan sendiri," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Epic, John-Son Oei.

Sudah terbiasa menginap di hotel ataupun penginapan moden, mengapa tidak anda mencuba pengalaman baru dengan menginap di inap desa yang sarat dengan pengaruh budaya suku Temuan sambil dikelilingi alam semula jadi?

temuan 1

Struktur Umah Temuan diperbuat daripada buluh.

Berikut adalah fakta menarik mengenai Umah Temuan:

- Terletak di Kampung Serendah, Hulu Selangor iaitu kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur.

- Dikelilingi suasana yang serba hijau dan berlatarbelakangkan sungai.

- Menerapkan pengaruh budaya suku Temuan ke dalam setiap elemen seni bina.

- Rekaan bumbung berbentuk tirus daripada atap bertam dan panel dinding anyaman buluh.

- Akses peribadi ke Sungai Sendat, di mana tetamu bebas untuk menikmati kedamaian dan ketenangan alam semula jadi.

- Tetamu disajikan dengan hidangan asli suku Temuan yang disediakan sendiri oleh komuniti orang asli.

- Pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai antaranya mempelajari kemahiran tradisional seperti menganyam atap, kelas masakan hidangan asli, meredah hutan dan sebagainya.

- Inap desa turut dilengkapi dengan perabot.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menginap dalam suasana yang penuh kedamaian di samping menimba pengalaman serta mempelajari budaya, Umah Temuan adalah lokasi ideal untuk anda.

Untuk menempah penginapan di Umah Temuan, sila layari https://discovernative.org/explore/umah-temuan-homestay

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain