suria

Comelnya Anak Kuda Belang, Musang Fennec Baru Lahir Di Zoo Melaka

Zoo Melaka menyambut kelahiran seekor anak kuda belang dan tiga ekor anak musang fennec baru-baru ini. -fotoBERNAMA

MELAKA: Zoo Melaka dan Night Safari menerima kehadiran empat anggota keluarga baharu iaitu seekor kuda belang dilahirkan di zoo itu pada 27 Disember lepas dan tiga ekor musang fennec yang comel dari Afrika pada 31 Januari lepas.

Penolong Kurator Zoo Melaka dan Night Safari, Nur Shahira Abdul Rahman berkata pihak zoo merancang mengadakan peraduan memberikan nama kepada empat anggota keluarga baharu itu bagi menyemai rasa sayang pengunjung zoo kepada haiwan itu.

"Bagaimanapun, haiwan baharu ini hanya dipamerkan bermula minggu ini memandangkan mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan membebaskan diri daripada tekanan," katanya.

Nur Shahira Abdul Rahman. -fotoBERNAMA

Beliau berkata anak kuda belang betina dan tiga musang fennec itu, masing-masing dua betina dan seekor jantan, merupakan tarikan terbaru selain kira-kira 600 haiwan daripada 150 spesies berbeza dari seluruh dunia yang terdapat di zoo berkenaan.

Nur Shahira berkata ketika ini Zoo Melaka dan Night Safari memiliki lima ekor kuda belang termasuk anak kuda tersebut yang dijangka boleh hidup sehingga 30 tahun dalam habitat asal dan 40 tahun dalam penjagaan zoo.

"Setiap anak kuda belang yang lahir akan ditempatkan bersama ibunya mengikut tempoh penceraian susu, namun bergantung kepada keadaan juga kerana sekiranya dia dibuli memandangkan individu baharu maka kita akan asingkan semula.

"Ini adalah kelahiran kedua di zoo ini selepas kuda belang jantan pertama yang dilahirkan kini telah berusia dua tahun," katanya.

Musang fennec comel dari Afrika. -fotoBERNAMA

Nur Shahira berkata musang fennec, yang pertama diperolehi zoo itu merupakan sejenis mamalia omnivor kecil yang aktif pada waktu malam dan banyak terdapat di gurun Sahara, Afrika Utara serta hidup dengan memakan serangga.

"Dua ekor musang fennec betina itu berusia 11 bulan dan yang jantan berumur tujuh bulan. Hayat musang ini dijangka sehingga 14 tahun dalam penjagaan zoo manakala lebih singkat dalam habitat asal iaitu kira-kira lapan tahun.

"Pengunjung pasti akan tertarik dengan fizikal unik musang ini apabila melihat telinganya yang boleh membesar sehingga separuh saiz badan dengan tubuh yang kecil menjadikannya kelihatan sungguh comel," katanya.

Nur Shahira berkata zoo itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik selama empat hari bersempena cuti Tahun Baharu Cina yang bermula pada Jumaat.

"Antaranya tarian naga, sesi ramah mesra dengan 'God of Fortune', pemberian hamper pada pengunjung bertuah dan persembahan akrobatik yang diterbangkan khas dari China.

"Justeru, kami berharap agar pengunjung tidak melepaskan peluang keemasan bagi mengalami suasana interaksi unik dengan menatap lebih dekat bayi kuda belang yang akan ditempatkan di Mini Safari bersama keluarganya di samping menyaksikan gelagat dan telatah musang tersebut," katanya.

Zoo Melaka, ditubuhkan sejak 1963 di bawah penjagaan kerajaan negeri Melaka, telah diswastakan pada November  2013 di bawah nama baharu,  Zoo Melaka dan Night Safari. 

-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain