suria

Kenali 8 atlet negara sah ke Olimpik Tokyo 2020

Khairulnizam dan Khairul Anwar (kanan) dua atlet lelaki yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020.

EMPAT tahun lalu, bendera Malaysia megah berkibar di beberapa venue di Rio de Janeiro, Brazil apabila atlet kebangsaan berjaya merangkul lima pingat keseluruhannya.

Seramai 32 atlet bersaing di pentas sukan berprestij dunia ini yang menyaksikan kejayaan dengan merangkul empat pingat perak menerusi dua acara iaitu terjun (Cheong Jun Hoong/Pandalela Rinong) dan badminton (Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Datuk Lee Chong Wei), manakala pingat gangsa menerusi pelumba basikal, Azizulhasni Awang.

Menjelang Tokyo 2020 yang bakal berlangsung 24 Julai hingga 9 Ogos depan, menyaksikan seramai lapan atlet negara yang sudah mengesahkan tiket ke Jepun.

Kenali kumpulan pertama lapan atlet negara yang layak ke Tokyo 2020 (senarai terkini sehingga 10 Oktober 2019)

1.Khairul Anuar Muhamad

Khairul Anwar antara atlet memanah yang berjaya menempah tiket ke Tokyo 2020.

‘Robin Hood Malaysia’ ini layak ke Tokyo pada Jun lalu ketika aksi Kejohanan Memanah Dunia di Belanda. Atlat kelahiran Kemaman, Terengganu berusia 28 tahun ini merupakan juara bertahan pingat emas bagi Sukan SEA lima kali berturut-turut sejak 2011-2017. 

Pada aksi kejohanan dunia empat bulan lalu, dia berjaya mara ke pusingan akhir, namun tewas kepada pemanah dari Amerika Syarikat, Brady Ellison. Khairul bakal mencatat rekod penampilan kali ketiga di pentas Olimpik selepas 2012 (London) dan 2016 di Rio.

2. Nur Dhabitah Sabri

Dhabitah bakal beraksi di pentas Sukan Olimpik buat kali kedua.

Atlet muda yang mencipta nama di kolam renang ini berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik buat kali kedua selepas 2016 setelah meraih pingat emas dalam acara 3m papan anjal Individu wanita di Kejohanan Terjun Piala Asia bulan lalu. 

Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik kelahiran Kuala Lumpur ini antara prospek untuk merangkul pingat pada Sukan Olimpik berdasarkan pencapaian semasanya, lebih-lebih lagi turut menerima suntikan semangat Februari lalu dengan dikurniakan Bintang Ahli Mahkota Wilayah (AMW) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

3.Wendy Ng Yan Yee

Wendy kembali bangkit selepas pmbedahan bahu November tahun lalu.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 26 tahun ini sekali lagi berjaya menempah tempat ke Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut selepas mara ke pusingan akhir 3 meter papan anjal individu wanita di Kejohanan Terjun Dunia di Korea Selatan, Julai lalu. 

Bagi Wendy, kejayaan ke Jepun tahun depan memberi makna besar buatnya kerana terpaksa bekerja keras untuk kembalikan prestasinya selepas menjalani pembedahan bahu pada November lalu.

4. Pendelela Rinong 

Pandelela antara prospek meraih pingat di Tokyo tahun depan.

Ratu terjun kelahiran Sarawak berusia 26 tahun ini merupakan pemegang pingat perak Sukan Olimpik 2012 dan pingat gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Pandelela atau nama gelarannya ‘Lulu g-dolphine’ sah ke Tokyo 2020 sebaik sahaja mara ke aksi akhir acara 10 meter platform individu pada Kejohanan Terjun Dunia di Gwangju, Korea Selatan Julai lalu.

Pandelela bakal beraksi dalam dua penampilan di Jepun tahun depan apabila turut layak acara 10 meter platform seirama gandingan bersama Leong Mun Yee.

Atlet keturunan Bidayuh ini dianggap antara prospek pingat di Jepun tahun depan.

5. Leong Mun Yee/ Pandelela Rinong

Mun Yee (kanan) kembali bergandingan dengan Pandelela.

Mun Yee antara atlet senior negara yang masih mempamerkan aksi terbaik dalam sukan terjun. Penerjun berusia 34 tahun kelahiran Ipoh, Perak ini merakam sejarah tersendiri apabila menjadi atlet pertama negara yang  akan beraksi di pentas Olimpik buat kali kelima. 

Sebelum ini dia turut tampil di Sukan Olimpik edisi 2000, 2004, 2008 dan 2012. Manakala gandingan bersama Pandelela ini bukanlah kali pertama memandangkan mereka pernah mencipta nama pada Kejohanan Dunia di Rome pada 2013.

Mun Yee atau lebih mesra disapa Angela kini sedang menyambung pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sarjana Komunikasi Korporat.

Selepas menempa nama dan mencatat pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, Mun Yee yang gemar menonton wayang dikala masa lapangnya merancang temasya Sukan Olimpik ini yang terakhir sebelum bersara bagi memberi tumpuan dalam kehidupan peribadinya selepas ini.

6. Khairulnizam Mohd Affendy

Khairulnizam antara atlet pelayar terawal layak ke Tokyo 2020.

Khairulnizam menjadi atlet Malaysia pertama daripada sukan pelayaran mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara laser standard sekaligus menjadikan penampilan keduanya di pentas ini selepas 2016. 

Olahragawan UiTM 2018 ini layak ke Jepun selepas meraih pingat perak pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang tahun lalu.

7. Nur Shazrin Mohd Latiff

Nur Shazlin dan Khairulnizam antara atlet terawal layak ke Tokyo 2020.

Atlet muda elit berusia 21 tahun ini antara pelayar yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam acara laser radial. Dia mengikut jejak langkah Khairulnizam menempah tiket ke Tokyo 2020 lebih awal selepas meraih pingat pada Sukan Asia tahun lalu. 

Lebih manis, pada usia 17 tahun kelahiran Kedah ini menjadi pelayar wanita pertama yang layak ke Sukan Olimpik di London pada  2016.

8. Farah Ann Abdul Hadi

Impian Farah Ann ke Sukan Olimpik akhirnya jadi kenyataan.

Terbaharu, impian Ratu Gimnas negara ini untuk tampil ke temasya terbesar dunia akhirnya menjadi kenyataan selepas mencatat keputusan terbaik pada Kejohanan Gimnas Artistik Dunia di Jerman minggu lalu. 

Kejayaan atlet berusia 25 tahun ini menempah slot ke Tokyo 2020 sekaligus memadam rekod terakhir gimnas negara beraksi di temasya ini menerusi atlet lelaki Ng Shu Wai di Athens 2004. Berdasarkan senarai terkini Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Farah Ann adalah antara 20 gimnas yang layak ke Tokyo dalam acara all-around individu di kejohanan dunia edisi tahun ini.

Gadis tinggi lampai kelahiran Selangor ini bukan sahaja aktif dalam bidang sukan, malah dia juga turut terlibat sebagai duta beberapa produk terkenal tanah air.

Kejayaan ini juga pastinya cukup bermakna buat bapanya, Abdul Hadi Ahmad yang merupakan pengurus pasukan gimnastik negara. 

Dalam pada itu, Farah Ann sebelum ini mengakui kejayaannya dicapainya sekarang adalah dorongan utama keluarga termasuk kakaknya yang juga atlet kebangsaan iaitu ratu renang berirama Malaysia, Katrina Ann.

Personaliti, Sukan, Atlet, Sukan Olimpik, 2020

Artikel Lain