suria

"Misi hapus hutang bola sepak ambil masa, perlu mula sekarang" - Aziz Yeop

Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga, kanan) bergambar bersama Pasukan The Bos Gaurus pada Pelancaran Kit Pasukan Liga Super Perak Musim 2019/2020 di Dataran Bandaraya Ipoh Sabtu malam. Foto: Bernama

NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Abd Aziz Yeop Jamaluddin menyifatkan langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melaksanakan sistem kawalan ekonomi ke atas pasukan Liga Malaysia adalah sesuatu yang positif.

Katanya, dalam situasi pasukan tempatan bergelut dengan masalah kewangan, sistem kawalan ekonomi yang terbukti berjaya melangsaikan hutang pemain kelab Sepanyol oleh La Liga itu, boleh dipraktikkan oleh MFL dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun Aziz percaya usaha MFL itu perlu disusuli dengan kerjasama semua pihak khususnya pihak pengurusan pasukan negeri dan kelab yang harus bersedia mengubah mentaliti.

“Ini satu langkah baru, kalau kita lihat jumlah kes dan hutang kelab Sepanyol lebih tinggi berbanding di Malaysia, tapi pihak LaLiga berjaya mengatasinya menerusi sistem kawalan ekonomi ini.

“Saya percaya di sana, semua pasukan memberikan kerjasama untuk LaLiga melakukan sebarang perubahan termasuk kawalan ekonomi ini.

“Jadi di sini, semua pasukan juga perlu berikan kerjasama dan menyokong usaha MFL.  Mentaliti kena ubah, jangan anggap semua perkara itu remeh. Banyak dokumen diperlukan oleh MFL untuk melihat kedudukan kewangan pasukan, jadi semua pasukan perlu bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Pada Jumaat, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Yusoff Mahadi memaklumkan badan pentadbir Liga Malaysia itu bersedia mempraktikkan sistem kawalan ekonomi seperti yang digunakan La Liga.

Sejak dilaksanakan pada 2012, LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Menerusi kawalan ekonomi ini, perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan.

Ini terbukti apabila LaLiga menyingkirkan kelab Elche FC gara-gara berdepan masalah hutang biarpun menduduki tangga ke-13 pada musim 2014/2015.

Malah kelab Real Murcia juga disingkirkan ke Divisyen Tiga biarpun menduduki kelompok empat teratas Divisyen Dua apabila gagal menyelesaikan masalah hutang pada tahun 2014.

“Bagaimanapun kita harus sedar ia mengambil masa untuk kita perbetulkan sistem sedia ada, kalau kita lihat LaLiga sendiri memerlukan lima tahun untuk langsaikan semua hutang pasukan, jadi kita perlu bergerak daripada sekarang,” kata Aziz yang juga bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pafa, MFL, hutang

Artikel Lain