suria

Bibi tak layan desakan EGM, ada perkara lebih penting!

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan enggan melayan desakan mana-mana pihak yang mahukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan segera bagi membincangkan masa depan badan induk tersebut.

Menurut Bibi, tiada keperluan untuk EGM itu diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting yang perlu diselesaikan oleh beliau.

Usahawan batik itu berkata beliau kini sedang fokus untuk menyelesaikan kes tunggakan gaji bekas jurulatih kecergasan Kelantan musim 2016, Sebastian Knapic.

Katanya, bukti pembayaran tunggakan tersebut perlu diselesaikan sebelum Khamis sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bukan itu sahaja, Bibi berkata beliau kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap saingan Piala Malaysia menentang MISC-MIFA, Jumaat ini.

"Kita kena fokus kepada kedudukan kes (Knapic) dan aksi Piala Malaysia walaupun ada orang nak pancung kita dan EGM bukan keutamaan pada waktu ini.

"Seandainya ada presiden baharu sekali pun, dah tak sempat nak selesaikan segala tunggakan.

"Bagi saya, EGM ini hanya bersifat perebutan jawatan sahaja," katanya kepada mStar Online.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh FAM, Kafa dikehendaki mengemukakan bukti bayaran RM46,340.41 kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan FAM selewat-lewatnya pada Khamis.

"Bayaran kepada Sebastian Knapic membabitkan sejumlah RM32,000 bersama faedah dan CHF1,000 (RM4,097.22) untuk kos prosiding Jawatankuasa Status Fifa.

"Kafa juga perlu membuat bayaran kepada Fifa iaitu sebanyak CHF1,000 (RM4,097.22) untuk kos prosiding Jawantankuasa Status Fifa, CHF1,000 untuk denda yang dikenakan Fifa dan CHF500 bagi kos prosiding Jawatankuasa Tatatertib Fifa," demikian menurut surat itu.

Menjelaskan surat tuntutan tersebut, Bibi berkata sekiranya gagal menyelesaikan bayaran tunggakan itu, Kelantan boleh dikenakan potongan tiga mata.

Malah lebih buruk lagi katanya skuad Kijang itu juga berdepan risiko tersingkir ke pentas Liga FAM.

"Kalau tak bayar pemotongan tiga mata dan tak mustahil ke Liga FAM. Jadi apa yang penting sekarang kita buat yang terbaik selagi ada waktu bagi memastikan Kafa terlepas tindakan daripada Fifa," katanya.

Mengenai desakan EGM, Bibi berkata ia mungkin dilakukan segelintir ahli Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) kerana rata-rata mereka masih berfikiran rasional terhadap kepimpinan yang telah dilantik.

"Kita belum buat perjumpaan lagi dengan PBJ untuk bagi penjelasan mengenai perkara ini.

"Insya-Allah saya harap dapat berjumpa dengan mereka selepas mesyuarat Exco Kafa pada 18 Ogos ini," katanya.

Dalam pada itu, Bibi mengharapkan penyokong hadir memberi sokongan kepada Kelantan yang akan bertemu MISC-MIFA pada aksi Piala Malaysia, Jumaat ini.

"Kita tahu pertemuan dengan MIFA pasti sukar kerana mereka berjaya mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini. 

"Jadi saya minta penyokong berikan sokongan mereka dalam apa jua keadaan sekali pun dan biar saya selesaikan apa yang patut," katanya.

Bibi Ramjani Ilias Khan, EGM

Artikel Lain