suria

"Kita tak boleh minta lebih, pemain dijaga setakat ini..." - Pengurus B-16

Foto kredit: FAM

PETALING JAYA: Pengurus pasukan bawah 16 Tahun (B-16) Negara, Datuk S. Sivasundaram percaya tahap keselamatan di stadium menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Indonesia akan diperketatkan.

Sivasundaram yang bersama skuad muda negara di Surabaya bagi mengharungi perlawanan Piala AFF  Bawah 16 Tahun turut mengucapkan penghargaan kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) kerana memberi kerjasama menjaga keselamatan pemain sepanjang kejohanan berlangsung.

"Setakat hari ini pihak PSSI dan keselamatan telah memberi yang terbaik, tiada masalah keselamatan yang timbul.

"Saya yakin untuk perlawanan esok bertemu tuan rumah, ia akan berterusan.

"Kita tidak boleh minta lebih kerana setakat ini semuanya berjalan lancar," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Menurut Siva, perkara yang lebih diberi fokus adalah prestasi pemain pada perlawanan separuh akhir nanti.

"Komitmen dan semangat pemain amat memuaskan. Mereka sangat disiplin di dalam dan di luar padang.

"Saya juga berharap mereka akan meneruskan rentak konsisten bertemu pasukan tuan rumah itu nanti.

"Minta semua penyokong Malaysia memberi sokongan penuh dan berdoa kita akan masuk final," katanya.

Kebimbangan mengenai keselamtan pemain timbul apabila penyokong Indonesia didakwa bertindak ganas selepas skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dibaling objek ketika mahu memasuki bilik persalinan selepas aksi separuh akhir kejohanan AFF B-19 di Surabaya pada 12 Julai lalu.

Keadaan menjadi lebih keruh apabila salah seorang pemain B-16, Amirul Ashrafiq Hanifah diugut bunuh apabila meletakkan bendera Poland dan bukannya Indonesia dalam Instastory sebelum berlepas ke Surabaya baru-baru ini.

Selain itu, selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Indonesia yang muncul juara Kumpulan A manakala Thailand akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Myanmar pada perlawanan esok (Khamis).

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala AFF B-16 pada  2013 yang berlangsung di Myanmar.


Bawah 16 Tahun, Piala AFF

Artikel Lain