suria

Kumpulan remaja terkejut Mat Don muncul, hadiahkan bola

Mat Don (tengah belakang) bersama pemain-pemain komuniti yang ditemuinya. Foto kredit: MXHXMXDXFS

PETALING JAYA: Kunjungan mengejut penyerang import Kedah ke tempat latihan sekumpulan remaja komuniti menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Sikap bersahaja Liridon Krasniqi,26, atau lebih mesra dipanggil ' Mat Don' menuju ke Padang Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu membuatkan ramai yang memujinya.

Menurut pembantu peribadinya, Muhammad Nazdrol Iman, lawatan Mat Don ke tempat latihan itu tidak dirancang.


"Saya dihubungi Mat Don untuk membuat satu rakaman. Kebetulan lalu di tepi padang tu, dan nampak sekumpulan remaja sedang menjalani latihan.

"Secara tiba-tiba Mat Don ajak singgah dan sebelum itu dia membeli beberapa biji bola dan minuman untuk diberikan kepada mereka.

"Memang kami nampak bola-bola yang digunakan itu agak lusuh," jelasnya kepada mStar Online.

Menurut Muhammad, ini bukan pertama kali penyerang sensasi Kedah itu menghulurkan sumbangan seperti itu.

"Kalau bab-bab ni dia memang bermurah hati. Selalu juga dia belikan jersi kat budak-budak yang dia nampak tepi jalan.

"Sebab itu ramai yang sayangkan dia," jelasnya.


Menurut Mat Don, perkara kecil yang boleh diberikan kepada mereka adalah sokongan moral.

"Saya ingatkan kepada mereka supaya jangan cepat berputus asa kerana saya masih ingat tidak lama dulu, saya bermula bermain bola sepak di jalanan seperti mereka. Jadi kepada semua 'StreetBoys", jangan berputus asa. Saya adalah penyokong kuat anda," jelas Liridon di Instagramnya.

Pasukan komuniti itu menjalani latihan secara percuma yang dikendalikan oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Chan Keat Swee.

Liridon Krasniqi, Mat Don

Artikel Lain