suria

Wenger Beri Kata Dua Kepada City

Pemain Arsenal berjalan di bawah Jambatan Sydney Harbour semasa kempen jelajah pra musim pasukan itu di Australia.

PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger memberi amaran kepada Manchester City supaya melupakan Alexis Sanchez.

Wenger menegaskan pemain kebangsaan Chile itu tidak akan dibenarkan menyertai City yang juga dianggap sebagai seteru kuat The Gunners.

Sebaik sahaja tiba di Sydney untuk kempen jelajah pra musim Arsenal, Wenger menegaskan Sanchez mungkin ditawarkan kontrak baharu bersama pasukan itu.

"Tekanan bermula lagi pada sidang media pertama. Kita akan tengok. Ini adalah kesinambungan daripada apa yang saya katakan pada hujung musim lalu.

"Tiada siapa tahu hari ini jika dia akan melalui tahun terakhirnya musim depan kerana dia boleh melanjutkan kontrak bersama kami pada permulaan musim, jadi ia tidak semestinya kontrak terakhirnya bersama Arsenal," kata Wenger.

Jika Sanchez kekal di Arsenal, pasukan itu akan mengurangkan risiko kehilangan pemain tersebut secara percuma ketika kontraknya tamat.

Namun Wenger menafikan laporan di Chile bahawa Sanchez memaklumkan dia mahu meninggalkan Emirates.

"Pemain masih ada kontrak dan kami mengharapkan mereka untuk menghormati kami. Itu apa yang kami mahu," katanya.

Susulan kehadiran penyerang Alexandre Lacazette, timbul tanda tanya mengenai masa depan Oliver Giroud dengan Everton, Marseille dan AC Milan bersedia mendapatkan khidmatnya.

Namun Wenger tidak mahu kehilangan pemain berusia 30 tahun itu.

"Kami melanjutkan kontraknya tahun lalu. Resolusi kami jelas. Dia amat berharga untuk pasukan dan saya fikir dia amat menyayangi Arsenal. Dia mempunyai komitmen yang tinggi untuk kekal," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain