suria

Skuad Wanita Kekalkan Kejuaraan

KUALA LUMPUR: Skuad wanita Malaysia mengekalkan kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia ke-18 selepas menewaskan tuan rumah Hong Kong 2-0 pada Ahad.

Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan lelaki negara yang gagal mempertahankan gelaran apabila tumpas 0-2 kepada pilihan utama kejohanan, India pada aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong.

Pada aksi hari ini umpama ulangan final edisi 2015, S. Sivasangari menumpaskan Hiu Lam Liu 11-5, 11-5, 9-11, 11-5, sebelum Andrea Lee memastikan kemenangan mutlak Malaysia selepas mengalahkan Cheng Nga Ching 11-9, 11-6, 11-13, 11-4.

Skuad wanita Malaysia yang merupakanpilihan utama kejohanan mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Jepun 2-1, Sabtu.

Jurulatih negara, Andrew Cross memuji prestasi pemain wanita Malaysia yang beraksi penuh yakin bagi meraih gelaran tersebut biarpun terpaksa berdepan dengan sokongan padu penonton tuan rumah.

"Pemain-pemain wanita negara menampilkan aksi terbaik hari ini. Banyak tekanan berdepan pasukan Hong Kong yang mendapat sokongan padu daripada penyokong tuan rumah setiap kali mereka mendapat mata.

"Keadaan itu pengalaman yang baik kepada pemain. Sivasangari beraksi lebih baik untuk menebus kekecewaan semalam, sementara Andrea benar-benar menampilkan aksi yang terbaik," katanya.

Dalam kategori lelaki, India yang gagal meraih gelaran selepas kecewa pada final edisi 2013 dan 2015, akhirnya meraih kejuaraan selepas menewaskan Malaysia 2-0 pada Ahad

Pemain meningkat naik India, Velavan Senthilkumar meletakkan pasukannya di hadapan selepas mengalahkan Ong Sai Hung 12-10, 11-0, 11-2, sementara Abhay Singh bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Darren Rahul 10-12, 7-11, 11-5, 14-12, 11-6.

Pasukan Malaysia yang diletakkan selaku pilihan kedua, menewaskan pilihan keempat Pakistan 2-1 di separuh akhir, Sabtu. - BERNAMA

Skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain