suria

Harimau Malaysia Perlu Bangkit - KJ

Pemain Singapura, Gabriel Quak (tengah) cuma melarikan bola daripada pemain Malaysia Nazirul Naim (kanan) dan Amri Yahyah (kiri) pada perlawanan persahabatan Causeway Challenge di Stadium Nasional Singapura, Jumaat.

PUTRAJAYA: Skuad Harimau Malaysia perlu bangkit memperbaiki rentak permainan menjelang kempen Piala Suzuki AFF bulan depan selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi persahabatan Causeway Challenge, malam Jumaat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata skuad negara pada ketika ini dilihat masih tercari-cari rentak permainan yang dikehendaki bagi menjulang trofi yang pernah dimenangi pada 2010.

"Pasukan kebangsaan kita saya lihat belum mendapat rentak permainan yang dikehendaki untuk kita berjaya dalam Piala AFF Suzuki.

"Mungkin banyak pertukaran dilakukan (Datuk) Ong Kim Swee," katanya ketika kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2016 di sini Sabtu.

Beliau berkata, walaupun pasukan kebangsaan tidak kalah, penguasaan bola dan permainan banyak didominasi Singapura.

"Saya rasa kita bernasib baik tak kalah semalam kerana bola terkena palang beberapa kali dan berjaya diselamatkan penjaga gol.

"Saya harap pasukan kebangsaan dapat mempamerkan taktikal permainan yang lebih bagus pada perlawanan selepas ini," katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Singapura malam Jumaat, Malaysia melakukan enam pertukaran pemain termasuk Ketua Pasukan Amri Yahyah selepas menerima dua kad kuning manakala Singapura hanya melakukan tiga pertukaran pemain sahaja.

Perlawanan Causeway Challenge diadakan enam minggu sebelum Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asian bermula pada 19 November depan.

Sementara itu, Khairy yakin sasaran tujuh juta rakyat Malaysia menyertai HSN 2016 dapat dicapai berdasarkan sambutan yang menggalakkan dalam pelbagai aktiviti yang disediakan pada kali ini.

"Atas kertas boleh dikatakan mencapai sasaran 7 juta tetapi saya perlu mendapat laporan terperinci awal pagi esok dan (jumlah penyertaan) hanya boleh diumumkan esok," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain