suria

Chong Wei, Dua Beregu Mara Ke Suku Akhir Terbuka Jepun

Lee Chong Wei. Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Vivian Ho-Woon Khe Wei serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Jepun.

Namun, kejayaan mereka gagal diiringi beregu lelaki yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tunduk di pusingan kedua di Tokyo, Khamis.

Chong Wei meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menamatkan perjuangan pemain China, Qiao Bin 21-8, 21-16, yang mara daripada pusingan kelayakan.

Di suku akhir pada Jumaat, pemain nombor satu dunia itu akan berdepan dengan seorang lagi pemain China yang mara daripada pusingan kelayakan, Shi Yuqi yang menyingkirkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 10-21, 21-12, 21-15 di pusingan kedua.

Vivian-Khe Wei pula mara selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Miki Kashihara-Miyuki Kato, 19-21, 21-16, 21-17 tetapi berdepan tugas berat di suku akhir nanti.

Mereka akan berdepan pasangan ranking kelima dunia, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl dari Denmark yang mara selepas menyingkirkan beregu tuan rumah, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-16, 21-15.

Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik turut menempah tiket ke suku akhir apabila mudah menyingkirkan pasangan Belanda, Jacco Arends-Selena Piek 21-13, 21-19.

Di suku akhir nanti, mereka akan berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Shin Seung Chan yang sebelum itu mengenepikan pasangan tuan rumah, Kenta Kazuno-Ayane Kurihara 21-13, 21-15.

Aksi turun naik pasangan V Shem-Wee Kiong kembali selepas cemerlang di Sukan Olimpik Rio apabila tewas kepada beregu China, Huang Kaxiang-Wang Wilyu 21-23, 12-21. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain