suria

Spurs Tebus Kecewa, Benam Sunderland

LONDON: Tottenham Hotspur bangkit daripada kekecewaan di pentas Eropah selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin.

Pasukan tuan rumah itu pada pertengahan minggu lalu dimalukan oleh kelab Perancis, Monaco dengan kekalahan 1-2 pada kempen Liga Juara-Juara di Wembey.

Pada aksi di White Hart Lane itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang England, Harry Kane pada babak kedua selepas bijak memanfaatkan kesilapan pelawat.

Kemenangan itu meletakkan Spurs di tangga ketiga liga di belakang pendahulu, Manchester City dan Everton selepas mengumpul 11 mata daripada lima perlawanan.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino mampu menarik nafas lega dengan kemenangan itu.

"Ada kalanya ia sukar tapi akhirnya keputusan adil.

"Kami berusaha keras untuk menjaringkan gol. Saya gembira dengan tiga mata ini dan kemenangan ini membantu saya mengatasi perasaan kecewa ketika bertemu Monaco.

"Saya mahu melakukan pertukaran dan pemain beraksi dengan baik. Ada kalanya anda perlu melakukan banyak pertukaran untuk menjaringkan gol," katanya.

Dalam perlawanan lebih awal,  Stoke City terus dirundung malamg apabila mencatat kekalahan keempat apabila tewas 1-4 kepada Crystal Palace.

Ketika perlawanan baru memasuki minit ke-11, Stoke yang ketika ini menghuni tangga tercorot liga sudah ketinggalan 2-0 menerusi jaringan pembukaan James Tomkins diikuti gol Scott Dann, dua minit kemudian.

Tidak banyak yang dilakukan Stoke untuk mengubah situasi itu dan mereka terus dihukum Palace pada babak kedua bermula daripada jaringan ketika daripada James McArthur pada minit ke-71 sebelum Andros Townsend melengkapkan jumlah jaringan, empat minit kemudian.

Gol sagu hati Stoke dijaringkan Marko Arnautovic pada masa kecederaan sekali gus menghadiahkan pengurus, Mark Hughes tekanan berlebihan di bahunya.

Stoke ketika ini hanya mengumpul satu mata daripada lima perlawanan selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang kelab baru dinaikkan pangkat, Middlesbrough pada aksi pembukaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rosberg Tawan Litar Marina Bay

Artikel Lain