suria

Piala Malaysia: Disiplin Kunci Kejayaan T Team

MARAN: Kejayaan mengekang pergerakan penggempur Felda United, Zahrahan Krangar dan Francis Forkey Doe, adalah kunci kejayaan kelab T-Team melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu malam.

Ini diakui pengendalinya, Rachmad Darmawan yang menjelaskan anak buahnya mempamerkan disiplin tinggi sepanjang permainan sehingga berupaya mematikan serangan lawan terutama daripada penggempur utama mereka, Krangar dan Forkey Doe.

"Felda United bermain cukup baik di mana mereka memperoleh beberapa peluang untuk meledakkan gol, malangnya mereka tidak berupaya menyempurnakannya dan ini beri kelebihan kepada kami," katanya selepas aksi suku akhir kedua malam tadi.

Gol tunggal Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-77 membolehkan T-Team menang 1-0, bagi menjadikan agregat 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir pertama.

Rachmad berkata kejayaan pasukan itu adalah hasil keazaman tinggi pemain dan sokongan padu penyokong untuk melihat kemaraan The Titans musim ini.

"Semua pemain berusaha keras di atas padang manakala sokongan penyokong yang datang dari jauh sangat membantu memberikan motivasi kepada pasukan," katanya.

Rachmad berkata pertembungan malam tadi begitu hebat terutama pada babak kedua sehingga memberi lebih tekanan kepada skuad kendaliannya berbanding perlawanan lain sebelum ini.

Di separuh akhir nanti, T-Team akan berdepan juara bertahan, Selangor yang mara selepas menumpaskan PKNS FC 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi, untuk menang dengan agregat 5-3.

Sementara itu, pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim mengakui kecewa dengan kekalahan pasukannya di halaman sendiri.

"Kalau diperhatikan Felda United sering melakukan serangan tetapi lawan mampu bertahan. T-Team menggunakan satu peluang terbaik yang hadir untuk mencipta jaringan," katanya.

Beliau berkata selepas menamatkan saingan Piala Malaysia, haluan The Fighters kini adalah memberi tumpuan kepada persiapan pasukan khususnya dalam mencari pemain pelapis bagi mengharungi musim hadapan. 

Piala Malaysia, Felda United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain