suria

Van Gaal 'Diboo' Penyokong Sendiri

Antara sepanduk penyokong yang menggesa Van Gaal supaya meninggalkan pasukan tersebut.

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal diboo penyokong selepas beliau mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan terhadap pasukan pada awal pagi Rabu dan menyatakan keinginannya untuk membawa pulang trofi Piala FA ke Old Trafford.

United menamatkan aksi penutup tirai Liga Perdana Inggeris musim ini dengan menundukkan Bournemouth 3-1.

Meskipun menang, United sekadar menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus terlepas aksi Liga Juara-Juara.

Beberapa penyokong membawa sepanduk yang tertera gesaan agar Van Gaal meninggalkan kelab itu.

Namun pengurus kelahiran Belanda itu dalam temubual selepas tamat permainan berkata sasaran penyokong terlalu optimis.


Ditanya jika beliau mengetahui mengapa penyokong bertindak sedemikian, Van Gaal berkata: "Sudah tentu, kerana mereka menaruh harapan yang terlalu tinggi.

"Penyokong harapkan sesuatu yang tinggi. Kami adalah sebuah pasukan dalam peralihan dan saya pernah katanya semasa saya memulakan tugas di sini. Mungkin saya perlu menyampaikan mesej itu dengan lebih jelas lagi," katanya.

Van Gall kini dalam misi memacu United untuk membawa pulang trofi Piala FA apabila anak buahnya bertemu Crystal Palace pada hujung minggu ini di Wembley.

Malah, beliau turut menyatakan mempunyai keinginan yang tinggi untuk membantu pasukan memenangi trofi tersebut.

"Saya ingin katakan sesuatu. Saya mewakili pemain, kakitangan dan diri saya sendiri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda.

"Dimana sahaja kami beraksi, apa sahaja keputusannya anda tidak pernah mengecewakan kami.

"Terima kasih untuk segalanya dan kami akan membawa pulang trofi Piala FA untuk anda," kata Van Gaal.



Artikel Sebelum

Artikel Lain