suria

Zulfadli Sedia Pikul Tugas Ketuai Skuad Kelayakan Piala Thomas

GEORGE TOWN: Pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli sedia memikul tanggungjawab selaku perseorangan utama negarake cabaran Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, yang turut menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas, di Hydrabad, India pada Februari ini. 

"Saya tahu ini kali pertama saya galas cabaran negara dan ia sangat besar.Saya sudah bersedia untuk turun sebagai perseorangan pertama. Kalau saya masih tidak boleh hendak terima tekanan sekarang, bila lagi kalau saya tidak mula dari sekarang," katanya kepada pemberita.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan bekas juara dunia 2011 itu selaku perseorangan utama, mengetuai cabaran negara ke pusingan kelayakan PialaThomas yang turut disertai Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven untuk perseorangan lelaki.

Bagi pasangan beregu pula, BAM menyenaraikan Tan Kian Meng/Low Juan Shen,Ong Yew Sin/Teo Ee Yi dan Tan Chee Tean/Tan Wee Gieen.

Dalam pada itu, Zulfadli yang meninggalkan gelanggang sambil menangis selepas tamat perlawanan dramatik menentang Ajay Jayaram, tampil memberi penjelasan kepada pihak media lewat malam Khamis.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, apa yang terjadi ketika beliau beraksi pada pusingan ketiga perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Masters Malaysia Grand Prix Emas (GP Emas) semalam, telah memberi pengajaran bermakna kepada kariernya pada masa akan datang.

Zulfadli yang sudah hampir memenangi perlawanan pusingan ketiga perseorangan lelaki itu, terpaksa tunduk 21-11, 8-21, 20-22 kepada pemain India, Ajay Jayaram dalam pertarungan yang dramatik.

Pada pertarungan selama 56 minit itu, Zulfadli yang mendahului set penentuandengan 18-10, tidak mampu bertahan dengan asakan lawannya yang juga pilihan ke-10 kejohanan.

"Saya memang rasa sangat kecewa sebab game ketiga itu saya dah mendahului agak jauh, namun, sebelum permainan hampir tamat, mungkin Ajay lebih fokus disaat akhir dan dia memperoleh kemenangan itu.

"Masa saya mendahului, saya ada hilang sikit fokus dan terlalu hendak habiskan game. Itu yang buat saya lebih tertekan nak cepatkan game masa penghujung," katanya.

Zulfadli berkata apa yang lebih mengecewakan, kekalahan itu menyebabkan beliau tersingkir daripada layak ke suku akhir sekaligus gagal meraih mata tambahan untuk ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Yang saya terkilan dan sedih sangat itu sebab sekarang ini semua pemain tengah kejarkan mata untuk ke Olimpik. Saya tinggal lagi dua mata untuk menang (perlawanan semalam) sebelum itu, dan saya punya mata akan agak tinggi (jika layak ke suku akhir)," katanya yang diiringi bapanya yang juga jurulatih, Zulkiffli Sidek dan ibunya Hanni Pranatyo pada sidang media itu.

Zulfadli dijangka menyertai Kejohanan Badminton Terbuka India (GP Emas) di Lucknow, India pada 26-31 Jan, diikuti Terbuka Thailand (GP Emas) pada 8-13 Febsebelum mengetuai cabaran negara ke Hydrabad. -Bernama

Zulfadli Zulkiffli

Artikel Berikut

Artikel Lain