suria

Terbuka Taiwan: Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran dengan menewaskan Kim Dong Hoon dari Korea Selatan pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Taiwan.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya mengambil masa 28 minit untuk mengetepikan lawannya pada kejohanan yang berlangsung di Taipei Arena pada Rabu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang diletakkan sebagai pemain bukan pilihan pada kejohanan berkenaan, memperoleh mata 21-10 dan 21-7.

Chong Wei dijadual berdepan pemain pilihan ke-10 kejohanan, Tommy Sugiarto dari Indonesia selepas pemain ke-16 dunia itu mengalahkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, 21-8 dan 21-16.

Sebelum ini, jaguh badminton negara itu mempamerkan aksi lebih tenang dan banyak bermain helah apabila menjuarai Terbuka Kanada dan Grand Prix Emas Terbuka Amerika baru-baru ini.

Chong Wei, kini menduduki ranking ke-65 dunia selepas tidak menyertai beberapa kejohanan antarabangsa akibat digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping.

Setelah tamat menjalani hukuman, beliau membantu pasukan Malaysia memperoleh pingat gangsa pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berjaya melayakkan diri ke saingan kedua selepas menumpaskan Sho Sasaki dari Jepun, 21-15, 17-21 dan 21-16 dalam saingan selama satu jam lapan minit.

Iskandar Zulkarnain akan bertemu pemain pilihan keenam kejohanan, Wang Zhengming dari China yang menundukkan pemain Finland, Eetu Heino, 22-20, 14-21 dan 21-11.

Bagaimanapun, Goh Soon Huat tidak bernasib baik apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain pilihan pertama kejohanan yang juga merupakan pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China.

Goh terpaksa berhempas pulas selama 53 minit sebelum menamatkan perlawanan dengan mata 23-21 dan 21-11.

Terbuka Taiwan

Artikel Lain