suria

Angel Di Maria Kini Sah Pemain Man Utd Dengan Harga Perpindahan Ke-6 Tertinggi Dunia

Angel Di Maria diperkenalkan kepada media dengan memakai jersi baru United.

> Angel di Maria kini disahkan sebagai pemain Manchester United

> Pemain tengah Argentina itu menandantangani kontrak lima tahun

> Perpindahan dari Real Madrid itu memecah rekod perpindahan British

> Juga menjadi pemain keenam termahal dunia

> United bayar Real Madrid £59.7 juta untuk dapatkannya

> Jumlah itu boleh meningkat kepada £70 juta berdasarkan prestasi semasa

> Di Maria akan menerima gaji £200,000 seminggu

> Kini pemain dengan gaji kedua tertinggi selepas Wayne Rooney

PEMAIN tengah Real Madrid dan Argentina, Ángel di María kini disahkan sebagai pemain Manchester United selepas kelab itu memeteraikan perjanjian dengan juara Eropah itu untuk membelinya pada harga rekod £59.7 juta sekaligus menjadikannya pemain termahal dalam sejarah perpindahan ke kelab Inggeris serta yang keenam termahal di dunia.

Jumlah itu mengatasi £50 juta yang Chelsea bayar Liverpool untuk dapatkan Fernando Torres pada Januari 2011.

United kini telah membelanjakan £130.7 juta untuk membawa masuk Luke Shaw (£27 juta), Ander Herrera (£28 juta) dan £16 juta untuk Marcos Rojo.

Di Maria yang kini berusia 26 tahun telah menandantangani kontrak lima tahun bersama United dan akan dibayar gaji mingguan sebanyak £200,000 - menjadikannya pemain kedua dengan bayaran tertinggi di kelab tersebut selepas Wayne Rooney.

Dalam pada itu, United juga sedang berusaha untuk membawa masuk pemain Juventus, Arturo Vidal, pemain Milan, Nigel de Jong dan pemain pertahanan  Ajax Amsterdam dan Belanda, Daley Blind, untuk melengkapkan pasukan mereka yang sedang tenat dan rapuh di bahagian pertahanan.

Awal pagi ini mereka dibelasah dan dimalukan 0-4 oleh pasukan liga bawah, MK Dons dalam perlawanan Piala Capital One.

Pengurus United, Louis van Gaal hanya mempunyai tempoh masa sehingga 1 September untuk membetulkan apa jua kelemahan yang ada sebelum pintu perpindahan ditutup.

Sementara itu, United juga sedang berusaha keras untuk mendapatkan permit kerja Di María bagi membolehkannya diturunkan dalam perlawanan liga menentang Burnley, Sabtu ini.

Van Gaal, hanya mampu mengutip satu mata daripada enam mata dalam dua perlawanan permulaan liga.

Artikel Lain