Perak mula meledakkan gol pembukaan seawal minit ketiga, hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Sabri disusuli jaringan padang Muhamad Fitri pada minit ke-14.
Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat pemain Pahang yang bangkit untuk merapatkan jurang defist menerusi pukulan sudut penalti oleh Hairul Nizam pada minit ke-20.
Pada babak kedua, Pahang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi jaringan padang oleh Mohd Sybrie sebelum Pahang mendahului Perak 3-2 tujuh minit kemudian hasil jaringan padang ketua pasukan Ismail Abu.
Bagaimanapun semangat kental yang ditunjukkan pemain Perak berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-66 menerusi Muhammad Haziq sebelum Haziq muncul wira Perak dengan meledakkan jaringan kemenangan tiga minit kemudian.
Dalam penentuan tempat ketiga, Kuala Lumpur mengalahkan Melaka 2-1.
Sementara itu, Terengganu merangkul gelaran Divisyen 2 apabila mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1.
Pasukan dari Pantai Timur itu mula membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari.
Skuad Penyu kemudian terus melebarkan sayap dengan tambahan tiga lagi gol hasil jaringan padang Syamiru Aiman Bidin pada minit ke-29 diikuti Mohmaad Shazril Rani (36') dan pukulan sudut penalti minit ke-44 oleh Baljit Singh bagi meletakkan Terengganu dihadapan dengan 4-0.
ATM yang seakan tersentak hanya mampu memperoleh gol saguhati menerusi jaringan padang oleh Razali Mohd Hazemi pada minit ke-59 sebelum Terengganu menutup tirai jaringan pada minit ke-62 menerusi Muhammad Sufi Ismat.
Berikut adalah kedudukan Divisyen 1 dan 2.
Divisyen 1:
Johan: Perak
Naib Johan: Pahang
Ketiga: Kuala Lumpur
Keempat: Melaka
Anugerah Fairplay: Kuala Lumpur
Pemain Terbaik: Ismail Abu (Pahang)
Penjaga Gol Terbaik: Mohammad Fitri Abdul Aziz (Perak)
Penjaring Gol Terbanyak: Ismail Abu (Pahang - 7 gol)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohammad Haziq Shamsul (Perak)
Divisyen 2:
Johan: Terengganu
Naib Johan: Angkatan Tentera Malaysia
Ketiga: Polis Diraja Malaysia
Keempat: Perlis
Anugerah Fairplay: Kedah
Pemain Terbaik: Faizal Saari (Terengganu)
Penjaga Gol Terbaik: Mohd Hazrul Faiz (Terengganu)
Penjaring Gol Terbanyak: Faizal Saari (Terengganu - 8 gol)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohd Hanip Che Halim (ATM)


