PDRM, selaku juara Liga Perdana musim ini, melengkapkan pusingan pertama dengan rekod bersih selepas mengalahkan T-Team 4-1 bagi saingan kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
'The Cops' membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Bobby Gonzales, seterusnya pemain import, Ashfaq Ali yang berasal dari Maldives, meledakkan gol kedua pada minit ke-23 dan Bobby sekali lagi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66.
Seterusnya, Charles Souza Chad mengesahkan kemenangan PDRM menerusi jaringan keempat pada minit ke-83 manakala gol tunggal T-Team disumbangkan oleh pemain import dari Rwanda, Jimmy Mulisa pada minit ke-86.
Dalam pada itu, pasukan Pahang gagal mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tewas 2-3 kepada Felda United dalam saingan kumpulan A di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Dua gol Felda United dijaringkan oleh pemain import Edward Junior Wilson dari Liberia pada minit ke-23 dan minit ke-63, seterusnya gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh Shukor Adan (76') manakala gol Pahang dijaringkan oleh R.Gopinathan pada minit ke-17 dan sepakan penalti Matias Conti (49').
Selangor pula menduduki tempat kedua kumpulan D dengan pungutan enam mata selepas menewaskan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pemain import skuad Gergasi Merah, Paulo Rangel menjaringkan gol pertama pada minit ke-16 dan Mohd Hazwan Bakri (34').
Bagi perlawanan kumpulan C pula, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatatkan kemenangan selesa menewaskan pasukan tuan rumah Pulau Pinang 3-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
JDT meraih gol pertama menerusi Mohd Amri Yahyah pada minit ke-13, Safiq Rahim (15') dan pemain import, Jorge Pereyra Diaz (67') manakala gol tunggal pasukan tuan rumah menerusi Lee Gil Hoon (65').
JDT kekal mendahului Kumpulan C dengan pungutan tujuh mata manakala Kelantan berada di tangga kedua, dengan enam mata selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Shah Alam.
Selepas terikat 0-0 pada separuh masa pertama, 'The Red Warriors' menerusi pemain import mereka Francis Forkey Doe berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-51 diikuti dua gol oleh Mohd Badhri Radzi pada minit ke-60 dan 89'.
Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menewaskan wakil dari Singapura, Lions XII 2-1 bagi saingan kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Fandi Ahmad menjadi wira pasukan JDT II apabila menjaring gol kemenangan pada minit ke-84.
Gol pertama JDT II dijaringkan oleh Shafiq Shaharudin pada minit ke-21 sebelum Lions XII menyamakan kedudukan menerusi Hafiz Abu Sujad pada minit ke-51.
Perlawanan kumpulan B pula, menyaksikan Terengganu menewaskan Perak 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Gol Terengganu itu dihadiahkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-30 dan Mohd Norfarhan Muhammad (50') manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Mohd Nasir Basharudin (32').
Satu lagi saingan kumpulan B, Sarawak gagal menggunakan kelebigan bermain halaman sendiri apabila kalah 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.
Billy Mehmet menjadi wira pasukan Kedah dengan jaringan pada minit masa tambahan babak kedua. Kedah membuka jaringan menerusi Muhd Farhan Roslan pada minit ke-33 sebelum penyerang import Ryan Griffiths menyamakan kedudukan pada minit ke-48.


