suria

PDRM Letak Dua Syarat Sebelum Dollah Salleh Diberi Pelepasan

Dollah Salleh
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia melepaskan ketua jurulatihnya Dollah Salleh untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memenuhi dua syaratnya.

Penaung pasukan bola sepak PDRM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dua syarat tersebut iaitu mempunyai jurulatih gantian dan bayaran ganti rugi perlu dipenuhi memandangkan Dollah masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga 30 November ini.

"Perkara ini (pelepasan) belum diputuskan. Demi kepentingan negara, PDRM rela melepaskan Dollah tapi dua syarat ini mesti dipenuhi terlebih dahulu," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak di sini Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pengendali berusia 51 tahun itu semalam tetapi tidak mendedahkan hasil perbincangan tersebut.

Minggu lepas, FAM mengumumkan pelantikan Dollah sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan, Harimau Malaya, bagi tempoh dua tahun.

FAM dilaporkan akan mengadakan perbincangan susulan dengan Dollah dalam masa terdekat mengenai soal kontrak serta penebusan kontrak dengan majikannya PDRM.

Pemilihan Dollah itu berdasarkan rekod cemerlangnya dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan membawa pasukan PDRM menjuarai Liga Perdana selain mara ke suku akhir Piala FA.
PDRM, Dollah Salleh

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Keputusan Tenis Wimbledon

Artikel Lain