suria

Darren Liew Ketuai Cabaran Negara Ke Pusingan Kedua Kejohanan Badminton Asia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan nombor dua negara, Daren Liew mengetuai cabaran pemain negara yang melayakkan diri ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Taipei Arena, Taiwan, pada Rabu.

Pada pusingan pertama hari ini, pemain berusia 25 tahun itu tidak menghadapi masalah besar untuk menjinakkan pemain muda Hong Kong, Tam Chun Hei dengan keputusan 21-13 dan 21-8.

Chong Wei Feng, pemian pilihan ke-10, turut mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Hsuan Lin Chia, 21-13 dan 21-10.

Pemain pelapis kebangsaan, Goh Soon Huat turut layak ke pusingan kedua selepas beliau mencatatkan kemenangan 21-5 dan 21-10 ke atas pemain pusingan kelayakan dari Macau, Tai Kin Hei.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan negara Goh V Shem dan Lim Khim Wah turut menempah slot ke pusingan kedua selepas mencatatkan kemenangan 21-11 dan 21-10 ke atas beregu tuan rumah, Liang Jui Wei dan Liao Kuan Hao.

Bekas juara beregu remaja dunia, Nelson Heg Wei Keat dan Teo Ee Yi bagaimanapun dipaksa bermain dalam rubber set oleh pasangan dari Singapura, Terry Hee dan Terry Yeo Zhao Jiang sebelum mengesahkan slot pusingan kedua dengan kemenangan 21-17, 13-21 dan 21-11.

Sonia Cheah pula menjadi wakil tunggal negara yang meneruskan kemaraan selepas dua pemain lain iaitu kakaknya, Lydia Cheah Li Ya serta Tee Jing Yi tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan pertama.

Sonia mara ke pusingan kedua selepas mengatasi Xing Aiying dari Singapura dengan kemenangan 21-11, 14-21 dan 21-18. Wakil tunggal negara dalam beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan dari Filipina, Jessie Francisco dan Eleanor Christine Inlayo dengan keputusan 21-10 dan 21-8.

Dalam acara beregu campuran, tiga pasangan negara meneruskan saingan di pusingan kedua selepas mengalahkan lawan masing-masing pada pusingan pertama.

Amelia yang bergandingan dengan Teo Ee Yi mengejutkan pilihan ketujuh dari Jepun, Kenichi Hayakawa dan Misaki Matsutomo dengan kemenangan 16-21, 21-18 dan 21-17.

Ong Jian Guo dan Lim Yim Loo menumpaskan gandingan tuan rumah, Lin Yen Jui dan Wu Ti Jung dengan kemenangan 21-13 dan 21-17 manakala Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing pula menewaskan pasangan dari China, Qiu Zihan dan Bao Yixin dengan keputusan 21-19 dan 21-15. -BERNAMA

Artikel Lain