suria

Piala AFC: Penyerang Import Baharu Perkuat Serangan Kelantan

KOTA BAHARU: The Red Warriors (TRW) akan menggunakan khidmat dua pemain import baharu bagi memantapkan jentera serangan mereka ketika bertemu Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives dalam saingan pertama Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini pada Rabu.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata kehadiran pemain tersebut iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria dan Dimitrios Pertratos dari Australia diharap dapat mempamerkan aksi terbaik mereka.

"Dengan adanya pemain import yang kini berada dalam prestasi terbaik, kita berharap mereka akan mencipta sesuatu buat pasukan untuk persediaan timbal balik perlawanan di Maldives nanti

"Kita menjangkakan tiga mata penuh dapat diraih di sini malam esok," katanya kepada pemberita ketika majlis pelancaran jersi kejohanan yang akan digunakan Kelantan, di sini, Selasa.

Turut diperkenalkan jenama Adabi sebagai penaja rasmi TRW yang menurut Pengurus Subsidiari Kumpulan Adabi, Syed Mahadzir Syed Manshor, kerjasama itu dapat memperluaskan lagi produk Adabi kepada penyokong dan peminat Kelantan.

Sementara itu ketua jurulatih Bojan Hodak yakin pengalaman Nwakaeme dan Pertratos dapat membantu Kelantan mencari gol kemenangan.

Kelebihan ini akan kita guna sepenuhnya selain komitmen pemain yang bakal beraksi yang menjadi tunjang kepada kejayaan pasukan," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain