suria

Nicol Hampiri Kejuaraan Sulung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David kini semakin hampir menjuarai Cleveland Classic selepas mara ke perlawanan akhir pada Isnin.

Menurut laman sesawang www.squashsite.co.uk, pemain berusia 29 tahun itu diberi tentangan hebat oleh pilihan kelapan Madeline Perry dari Ireland sebelum menang 11-6, 11-7, 4-11 dan 11-7 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Cleveland Racquet Club, Ohio, Amerika Syarikat.

Nicol dijangka diberi saingan sengit pemain pilihan kedua kejohanan yang juga pemain nombor dua dunia Raneem El Weleily dari Mesir pada perlawanan akhir yang dijadual lewat hari Selasa.

Pemain berusia 24 tahun itu menempah tiket ke akhir selepas menyingkirkan pilihan ketiga dari England Alison Water dengan 11-9, 11-9 dan 11-5.

Sementara itu Nicol menerusi akaun Facebooknya berkata beliau gembira kerana berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan terbabit untuk tahun kedua berturut-turut.

"Rasa hebat dapat ke perlawanan akhir selepas menewaskan Madeline dengan 3-1," katanya.

Nicol turut berterima kasih kepada Persatuan Skuasy Wanita (WSA) yang memberi anugerah 'Heather McKay Player of the Year' kepadanya, susulan prestasi cemerlang beliau tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain