suria

BAM Setuju Beri Peluang Liew Darren Sertai Terbuka Malaysia - Kenny

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Liew Daren boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM)bersetuju memberi peluang kepada beliau beraksi pada Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Malaysia yang bermula esok.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata Liew telah berjanji kepada beliau untuk memperbaiki prestasinya pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil itu.

"Liew Daren sendiri ada beritahu saya bahawa dia menyesal kerana gagal memberikan aksi terbaik pada Sirkit Kebangsaan dan beliau berjanji untuk memperbaiki semula permainannya pada Terbuka Malaysia," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau sesi latihan skuad badminton negara di Stadium Putra, hari ini. Turut kelihatan menjalani latihan pada hari ini ialah pemain England dan Hong Kong.

Pemain berusia 25 tahun itu, sebelum ini tidak dibenarkan beraksi oleh BAM pada Terbuka Korea selepas mempamerkan aksi mengecewakan pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2012 di Kedah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kenny menggesa pemain muda kebangsaan menggunakan peluang dengan ketiadaan nama-nama besar terutamanya dari China pada kejohanan berkenaan sebagai medan untuk mempamerkan persembahan terbaik masing-masing.

Beliau berkata barisan jurulatih pemain pelapis kebangsaan telah meletakkan sasaran tinggi supaya anak buah mereka mempamerkan aksi terpuji dan melangkah lebih jauh pada kejohanan itu yang memasuki edisi ke-58 tahun ini.

Kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah USD$400,000 (RM1,206,940) akan bermula dengan pusingan kelayakan esok, diikuti pusingan pertama pada Rabu.

Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei yang muncul juara Terbuka Korea, semalam kini memburu kejuaraan peribadi buat kali kesembilan pada Terbuka Malaysia.

China yang merupakan kuasa utama badminton dunia tidak menghantar nama-nama besar seperti juara dunia dan Olimpik, Lin Dan serta Chen Jin sebaliknya hanya menyenaraikan pemain muda, Du Pengyu pada kejohanan tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Chong Wei Juara Terbuka Korea

Artikel Lain