suria

Skuad Terjun Bakal Terima Jurulatih Baru

PUTRAJAYA: Skuad terjun kebangsaan bakal mendapatkan khidmat empat jurulatih baharu dalam usaha meneruskan kejayaan yang dilakar ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg pada Sukan Olimpik London, baru-baru ini.

Hasrat mendapatkan khidmat jurulatih baharu itu disuarakan jurulatih skuad terjun kebangsaan, Yang Zhuliang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian ganjaran RM300,000 kepada Pandelela atas kejayaannya meraih pingat gangsa di Olimpik London.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut hadir pada majlis itu, berkata pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik cadangan itu dan akan mengadakan perbincangan terperinci mengenai pengambilan jurulatih luar untuk skuad terjun berkenaan.

"Kita akan bincang tentang segala keperluan yang berkaitan dengan pembangunan sukan itu.

"Dengan kejayaan Pandelela, kita mempunyai alasan kukuh meneruskan pembangunan infrastruktur dan latihan atlet itu sendiri. Kita memerlukan seorang jurulatih luar yang dapat membantu jurulatih tempatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, MSN akan membuat penelitian terperinci berhubung penambahan jurulatih luar untuk skuad terjun negara.

"Kita kena tengok latar belakang jurulatih dan kelayakannya terlebih dahulu dan baru kita umumkan nanti. Secara umum, pengambilan jurulatih luar selalunya melibatkan kos tinggi, selain membayar gaji mereka, kita juga perlu membayar cukai pendapatan, pengangkutan serta penginapan.

"Kita akan bincang secara terperinci hal ini kerana jurulatih pun bergantung pada jumlah atlet juga," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain