suria

Uranus Kotakan Janji Raih Tempat Ketiga Dalam RLIR 2012

LANGKAWI: Wakil Malaysia, 'Uranus' mengotakan janjinya apabila berjaya mengetepikan saingan pasukan 'Jelik II' dari Hong Kong untuk merebut tempat ketiga keseluruhan dalam kelas premier Regata Antarabangsa Diraja Langkawi 2012 (RLIR) ke-10.

Pada cabaran terakhir persisiran pantai hari ini, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai jurumudi Mohamad Razali Mansor bersama krewnya menunjukkan persembahan yang konsisten untuk meraih tangga ketiga dalam kedua-dua saingan untuk mendapat enam mata penalti berbanding Jelik II yang dikemudi Frank Pong sekadar hanya mengutip 10 mata penalti di petak kelima pada Sabtu.

Pungutan mata itu turut mempengaruhi kedudukan keseluruhan antara kedua-dua pasukan apabila Uranus berjaya merampas kembali kedudukan ketiga keseluruhan dengan mencatat 38 mata, lebih tiga mata daripada pasukan Frank Pong yang menghuni di tempat keempat.

Mohamad Razali, 41, ketika ditemui menyifatkan kejayaan itu dibantu dengan angin sederhana dan motivasi krewnya untuk mendapatkan kemenangan ke atas saingan terdekatnya turut memainkan peranan utama.

"Kita bermula baik kerana dibantu tiupan angin sekitar 8 hingga 13 knot. Malah motivasi krew untuk dapat sekurang-kurangnya tempat ketiga juga merupakan faktor kekuatan kita," katanya.

Pasukan Australia 'Hooligan' yang mendominasi dari awal saingan mengekalkan aksi konsisten sehingga hari terakhir untuk meraih gelaran juara buat kali pertama pada musim ini, sekali gus menjulang trofi Piala Cabaran Perdana Menteri yang akan disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis makan malam ini.

Pasukan Australia itu diketuai jurumudi Marcus Blackmore mengumpul 13 mata penalti selepas menamatkan cabaran 10 perlumbaan manakala pencabar terdekat 'HiFI' yang berdaftar di Hong Kong diketuai oleh Neil Pryde terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 17 mata keseluruhan.

Satu lagi pasukan Utarid dari ATM yang dikemudi oleh Ishak Jab bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan tangga tercorot walaupun berkongsi 41 mata dengan Jelik II.

Sementara itu, bagi saingan kategori yang lebih kecil iaitu kategori 'Sportboats', seorang lagi wakil ATM, Mohd Masyuri Rahmat, 29, mengetepikan cabaran wakil Universiti Pengurusan Singapura, Christopher Lim Zijie untuk menjuarai kategori 'Sportboats' dengan membawa pulang Trofi Sukan Langkawi.

Mohd Masyuri yang berasal dari Melaka berkata kemenangan ini merupakan hadiah buat isteri tercinta dan seterusnya mengulangi pencapaian pada tahun 2006 setelah menumpaskan cabaran Australia ketika itu.-BERNAMA

Artikel Lain