8 Pasukan Liga M Layak Ambil Pemain Import Sehingga 13 Februari Depan - Sukan | mStar

8 Pasukan Liga M Layak Ambil Pemain Import Sehingga 13 Februari Depan

PETALING JAYA: Lapan pasukan Liga Malaysia termasuk Terengganu, yang sebelum ini tidak dapat menggunakan pemain import untuk saingan liga musim ini akibat kegagalan untuk menepati beberapa peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kini boleh menarik nafas lega.

FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import selama sebulan bermula hari ini sehingga 13 Feb depan demi memartabatkan liga bola sepak tempatan.

"Bagaimanapun pasukan terbabit terlebih dahulu harus merujuk pengambilan pemain import kepada Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan ketika membuat pendaftaran," kata Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di sini, Jumaat.

Mesyuarat lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh merangkap ahli jawatankuasa (AJK) JKPT.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang bermesyuarat pada 22 Dis lepas meluluskan pengambilan 26 daripada 35 pemain import daripada beberapa pasukan negeri dan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

Antara pemain import yang telah mendapat kelulusan FAM untuk beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah Marlon James dan Bruno Sebastian Martelotto dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Esseh Sodjine Sougan Adah (Johor), Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Kedah), Mohamad Ghaddar, Dennis Agayare dan Emmanuel Ayaah Okine (Kelantan) dan Ramez Dayoub (Selangor).

Empat pemain lain iaitu Daniel Soares Neves (Kedah), Mbele Lelo (Selangor), Evans Chusilo (MP Muar) dan Christian Contes (Perlis) pula diluluskan secara bersyarat.

Sebelum ini, FAM tidak membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu iaitu Erison Da Silva Santos Carnieto dan Francis Forkey Doe beraksi dalam saingan Liga Super.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang berang dengan keputusan tersebut pada Rabu telah mengancam untuk menarik keluar pasukan Terengganu dan T-Team daripada menyertai Liga Malaysia.

Hamidin turut menasihatkan agar lapan pasukan itu dapat menggunakan masa sebulan yang diberikan oleh FAM untuk mencari pemain import yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata FAM akan mengadakan kursus pengambilan pemain import pada semua pasukan Mac depan dan musim kedua untuk mendaftar pemain import dari 2-16 April turut dikekalkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel