suria

BAM Tidak Lantik Pengarah Prestasi Tinggi, Tubuh Pasukan Prestasi Tinggi

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak melantik Pengarah Prestasi Tinggi yang baru bagi menggantikan Datuk James Selvaraj.

Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata calon yang ditemuramah bagi jawatan tersebut memiliki kekuatan masing-masing, namun tidak ada yang memenuhi kehendak badan itu.

"Kami juga berpendapat ia bukan satu keputusan yang bijak untuk melantik pengarah prestasi tinggi baru kerana faktor masa yang semakin suntuk," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco BAM di Stadium Putra Bukit Jalil, Jumaat.

Bekas jurulatih kebangsaan Razif Sidek dan jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil Yap Kim Hock antara calon yang disenarai pendek BAM untuk jawatan itu.

Mohd Nadzmi berkata mesyuarat exco sebaliknya memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Prestasi Tinggi yang akan memberi tumpuan kepada Olimpik London Julai ini.

Pasukan itu dianggotai Setiausaha BAM Ng Chin Chai, Selvaraj dan pakar sains sukan Institut Sukan Negara Leftenan Kolonel (Bersara) Wong Ah Jit.

"Oleh itu, daripada mengambil risiko, BAM memutuskan untuk menubuhkan pasukan prestasi tinggi yang terdiri daripada mereka yang telahpun memahami program sedia ada," katanya.

Mohd Nadzmi juga berkata pasukan prestasi tinggi mempunyai tugas berat dalam menggerakkan segala aspek yang perlu untuk pencapaian emas di Olimpik, khususnya membantu perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain