suria

Yunus Idam Kemenangan Ketiga Bersama T-Team

KUALA TERENGGANU: Pengendali pasukan T-Team Yunus Aliff menagih kemenangan ketiga daripada anak didiknya kerana ia amat bermakna untuk pasukan.

Katanya biarpun menduduki tangga teratas Liga Super setakat ini, namun ia belum cukup melegakan sekaligus meminta anak didiknya mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang pasukan Sabah malam Selasa.

Beliau berkata dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua pemain, beliau yakin pasukannya mampu meraih kemenangan tersebut selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah ketika menentang Sabah.

"Dengan gandingan dan percaturan yang dibuat saya yakin kesemua pemain mampu meraih kemenangan kerana tiga mata yang bakal dipungut itu amat berharga," katanya kepada pemberita ketika ditemui,di sini Isnin.

Tidak banyak rombakan yang dilakukan dalam barisan kesebelasan pemain yang akan beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa.

Katanya kesemua pemain lama serta baru telah menunjukkan persefahaman dan keserasian yang baik, sekaligus beliau mengharapkan kesemua pemain dapat mengekalkannya bagi memantapkan lagi pasukan.

"Untuk perlawanan malam esok saya masih mengekalkan barisan kesebelasan yang sama hanya Rusdi Talib sahaja tidak dapat diturunkan berikutan masalah kesihatan," katanya.

Yunus berkata walaupun berjaya mencatat dua kemenangan sebelum ini namun beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya agar tidak leka dengan kemenangan yang dicatatkan dan tidak memandang mudah setiap pasukan lawan.

Pasukan T-Team berjaya menduduki tangga teratas dalam Liga Super apabila berjaya mengumpul enam mata daripada dua perlawanan setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dan Kedah juga 3-0. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain