suria

Kim Swee Umum Senarai Akhir Skuad Olimpik

SHAH ALAM: Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee mengumumkan senarai akhir 21 pemain yang akan dibawa menggalas cabaran menentang Jepun pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 pada 21 September ini.

"Semua pemain ini dipilih dan dinilai sejak skuad Olimpik negara menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 1 Sept dan juga dua perlawanan persahabatan yang mereka tempuhi," katanya.

Lima pemain yang terpaksa digugurkan ialah Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd. Ferris Daniel Mat Nasir,Gary Steven Robbat dan Mohd Azrif Nasrulhaq.

Skuad akan berlepas ke Jepun esok dan akan menjalani latihan di Jepun dari 16-18 September ini.

Sementara itu, mengulas kekalahan 0-1 pada perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Oman malam ini, Kim Swee berkata tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kekalahan tersebut.

"Kekalahan ini tidak menjejaskan persiapan pasukan dan banyak yang boleh dipelajari terutamanya gol yang menyebabkan pasukan kalah dan skuad akan berusaha memperbaiki kelemahan itu," katanya.

Kim Swee berkata beliau percaya pemain akan menunjukkan satu persembahan yang baik apabila menentang Jepun dan pendedahan (kekalahan) ini cukup bagus sebelum ke Jepun.

Pada perlawanan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, gol kemenangan Oman dijaringkan oleh Hussain Ali pada minit ke-41 menerusi satu sepakan kencang luar kotak penalti yang terus menerjah gawang menumpaskan penjaga gawang Khairul Fahmi Che Mat. SENARAI PEMAIN SKUAD OLIMPIK KE JEPUN

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Izuan Solahuddin, Mohd Zubir Mohd Azmi, Mohamad Faizal Abu Bakar, Muhammad Nazmi Faiz, Muhammad Syazwan Tajuddin, Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Izzaq Faris Ramlan, Mahalli Jasuli. Mohamad Amer Saidin, Mohammad Muslim Ahmad, Mohd Fandi Othman, Mohd Izham Tarmizi, Syahrul Azwari Ibrahim, A.Thamil Arasu, Wan Zaharulnizam WanZakaria, Wan Zack Haikal, Irfan Fazail, Fadhli Shas, Ahmad Hazwan Bakri.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain