suria

UPSI Letak Harapan Kepada Barisan Pesilat Junior

KUALA LUMPUR: Walaupun turun ke gelanggang tanpa barisan pesilat senior, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) tetap optimis untuk memburu pingat pada Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) di pusat beli belah Berjaya Time Square di sini, Ahad.

Jurulatih pasukan UPSI, Mohd Zulkefli Ahmad Tahil berkata dua pesilat seniornya terpilih untuk mewakili negara bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Luar Negara, menyebabkan beliau kehilangan tonggak pesilat utama.

Dua pesilat UPSI tersebut ialah Zaiton A Koang yang beraksi dalam kategori Puteri A (wanita) dan Nordiana Mohamad (Kategori Puteri D).

"Saya harap penampilan pesilat baru dari skuad pelapis tidak akan mengecewakan pasukan UPSI bagi merebut tempat lima teratas dalam kategori IPT dalam negara.

"Saya yakin dengan skuad Pesilat pelapis UPSI setelah mereka berjaya menunjukkan aksi cemerlang dan bersungguh-sungguh ketika berdepan dengan pasukan lawan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata cabaran untuk meraih pingat emas diletakkan kepada dua pesilat pelapisnya iaitu Norizan Aladdin yang mengambil bahagian dalam Kategori Putera C dan Ahmad Azuan (Kategori Putera D).

Mohd Zulkefli berkata sandaran pingat tersebut diletakkan berdasarkan pencapaian cemerlang dua pesilat itu beraksi di Kejohanan Sukan Universiti anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lepas.

Beliau berkata lima pesilatnya telah layak melepasi saringan awal semalam dan akan beraksi di perlawanan peringkat separuh akhir petang ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain