suria

Sukan Olimpik 2012: Skuad Memanah Berpotensi Sumbang Emas

KEMAMAN: Kejayaan trio skuad memanah negara melayakkan diri dalam perlawanan akhir berpasukan recurve pada Piala Dunia di Shanghai amat membanggakan, dan disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah sukan itu di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun tewas kepada pasukan Amerika Syarikat dengan mata 218-222 pada Sabtu, namun pencapaian tersebut melepasi jangkaan.

"Amat mengkagumkan... walaupun tewas, namun ia membanggakan kerana lawan kita di peringkat akhirpun bukan calang-calang pasukan," katanya ketika diminta mengulas kemaraan trio Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamed dan Wan Khalmizam Wan Abdul Aziz di pusingan akhir sukan memanah berkenaan.

Beliau turut berbangga dengan kejayaan Khairul Anuar yang mampu memberikan saingan sengit kepada pemanah Amerika Syarikat dalam acara recurve individu, walaupun akhirnya tewas dengan 'shoot out.'

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata pasukan memanah dilihat mampu menyumbang emas, atau sekurang-kurangnya satu pingat, pada Sukan Olimpik 2012.

"Kita akan bincang dengan Majlis Sukan Negara serta jurulatih, apakah perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keupayaan pasukan memanah negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Sekadar Seri Dengan Lazio

Artikel Lain