suria

Sukan (Karate): MAKAF Nafi Larang Atlet, Jurulatih Karate Keluarkan Sebarang Kenyataan

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata semua atlet dan jurulatih skuad kebangsaan tidak pernah dilarang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan langsung mengenai pasukan itu.

Ketua Menteri Melaka itu berkata jurulatih atau atlet masih boleh memberi kenyataan berhubung prestasi masing-masing dalam sesuatu kejohanan, selagi ia tidak bercanggah dengan dasar persatuan.

"Mereka bukannya tidak boleh langsung mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, tetapi diberi had, iaitu sekadar boleh memberikan kenyataan mengenai prestasi dan perkembangan semasa skuad negara.

"Cuma mereka tidak boleh memberi komen mengenai pemilihan yang dibuat Makaf, isu yang boleh menimbulkan pergaduhan dalaman serta isu pentadbiran Makaf," katanya kepada Bernama selepas menutup Kejohanan Kebangsaan Karate Terbuka Sekolah-Sekolah di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Turut hadir Naib Presiden Satu Makaf Datuk Noor Nordin Abdullah dan Presiden Hayashi-ha Karate, yang juga bekas atlet negara, T. Ponniyah.

Pada kejohanan itu, dianggarkan 500 peserta muda, termasuk enam kontinjen luar negara seperti Iran, Singapura dan Indonesia, yang berusia lingkungan 5 hingga 23 tahun, menyertai kejohanan yang berlangsung setiap tahun tersebut.

Mohd Ali berkata larangan berkaitan dibuat kerana tidak mahu sebarang isu ditimbulkan atlet atau jurulatih, yang boleh menjejas nama baik persatuan itu.

Beliau berkata larangan itu terkandung dalam kontrak antara anggota skuad kebangsaan dan persatuan badan induk berkenaan.

Sebelum ini, Makaf berkata hanya presiden boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan pasukan negara dan semua atlet serta jurulatih dalam skuad kebangsaan dilarang berbuat demikian.

Katanya, jika jurulatih atau mana-mana atlet melanggar kontrak itu, mereka boleh dikenakan tindakan oleh badan induk karate negara tersebut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain