suria

Pelari Kenya Kuasai KL Maraton

KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangka, pelari jarak jauh Kenya menguasai Standard Chartered Kuala Lumpur Maraton.

Bagi kategori terbuka lelaki, Kennedy Kiproo Lilan mengambil masa dua jam, 20 minit dan 8.07 saat dalam larian itu yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, di sini, Ahad.

Hampir 22,000 peserta bersaing dalam lima kategori yang dipertandingkan iaitu maraton penuh (42.2km), separuh maraton (21.2km), 10km, 5km Fun Run dan 'Kids Dash' (3km-850m).

Rakan senegara Kennedy iaitu Cheso Jonathan Kipchirchir dan Julius Ndiritu Karinga pula masing-masing menduduki tempat tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 2'20:08.82s dan 2'20:13.58s.

Atas kemenangannya, Kennedy menerima US$17,500 (kira-kira RM53,208.75) yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek manakala Cheso dan Julius masing-masing menerima US$7,500 (RM22,803.75) dan US$5,000 (RM15,202.50).

"Larian ini cukup baik. Saya telah berlatih selama dua bulan sebelum datang ke sini. Bagaimanapun, timingnya sedikit perlahan dari masa terbaik saya, 2'19:00," kata Kennedy, 22. Beliau merupakan naib johan KL Maraton tahun lepas.

Dalam kategori wanita terbuka, pelari Kenya turut menguasai kedudukan tiga teratas.

Rose Kerubo Nyangacha memenangi perlumbaan dengan catatan masa 2'34:37.43s, manakala Rose Jepkemboi Chesire dan Ruth Jepkoech Kutol masing-masing mencatat masa 2'35:11.43s dan 2'37:23.93s.

Untuk kemenangan itu, Rose menerima US$17,500 (RM53,208.75).

Sementara itu, Shaharudin Hashim merupakan pelari terbaik tempatan yang menamatkan perlumbaan dengan masa 2'42:36.19s, manakala R. Muniandy dan Fong Thong Lim masing-masing pada tempat kedua dan ketiga dengan masa 2'51:08.18s dan 2'53:20.94s.

Shaharudin menerima US$2,500 (RM7,601.25) manakala Muniandy dan Fong masing-masing menerima US$1,500 (RM4,560.75) dan US$900 (RM2,736.45).

"Saya agak kecewa dengan strategi larian saya.Sepatutnya saya tidak berlari pantas pada peringkat awal. Ini menyebabkan saya berat lebih pada akhir perlumbaan,:" kata Shaharudin, yang berharap akan terpilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA, November ini.

Katanya beliau telahmempersiapkan diri untuk perlumbaan tahunini selama tiga bulan di bawah tunjuk ajar jurulatih Perancis, Jean-Pierre Lautredoux.

Emelyne Teo Jia Wei pula memenangi kategori wanita tempatan dengan catatan 3'32:24.69s. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain