Pasukan Landas 6 Dinobat 'Raja Sungai' - Sukan | mStar

Pasukan Landas 6 Dinobat 'Raja Sungai'

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak melalui pasukan Landas 6 berjaya mempertahankan gelaran "Raja Sungai" dalam Pertandingan Regatta Sarawak 2010 yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching pada hari ini.

Pasukan itu berjaya menewaskan 11 lagi pasukan yang memberi saingan sengit dalam perlumbaan bidar 30 pekayuh lelaki mengayuh bot panjang sejauh 1.88km iaitu dari Kampung Pulo Hilir dan berakhir di depan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Tebingan Kuching, di sini, untuk merebut gelaran "Raja Sungai" tahun ini.

Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abang Sallahuddin Abang Barieng menyampaikan wang tunai RM3,500, piala pusingan, dan sijil kepada pengurus pasukan yang juga Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datuk Sudarsono Osman pada majlis penutupan pertandingan itu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan, Tan Sri Dr George Chan.

Dalam kategori yang sama, pasukan Jang menduduki tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Pusaka 8 (wang tunai RM2,500), Pasukan ASF Putri Dang Balai menduduki tempat ke-4 (wang tunai RM1,500), dan pasukan Sri Urai menduduki tempat ke-5 (wang tunai RM1,000).

Pasukan Landas yang menyertai perlumbaan berprestij sejak 27 tahun yang lalu telah merangkul gelaran "Raja Sungai" sebanyak 24 kali dan hanya 'terlepas' gelaran tersebut pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

Ketika ditemui pemberita, Sudarsono berkata beliau berasa gembira kerana pasukan Landas berjaya mempertahankan gelaran "Raja Sungai" pada tahun ini sambil menyifatkan kerjasama dan semangat berpasukan merupakan tips kemenangan.

Pada tahun ini, acara perlumbaan perahu berprestij ini menyaksikan penyertaan dalam pelbagai kategori lebih 300 pasukan dengan 5,844 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan swasta.

Selain itu, acara sampingan termasuk sukan air tradisional seperti menangkap itik, berenang dengan batang apong, pukul bantal di air, memanjat tiang licin, dan mendayung ke arah bertentangan.

Acara yang bermula pada Jummat lepas merupakan acara sukan air tradisional tahunan yang bermula sejak 1872 oleh Rajah Sarawak kedua, Sir Chales Brooke.

Acara berprestij tersebut mula tersenarai dalam Kalender Pelancongan Negeri pada 2006. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain